Perlu kawalan jumlah penghuni asrama pekerja asing - Utusan Malaysia

Perlu kawalan jumlah penghuni asrama pekerja asing

AMINUDDIN Harun ketika dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, Seremban hari ini.- UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mencadangkan supaya perlu ada satu kawalan yang dapat mengehadkan jumlah penghuni asrama yang melibatkan pekerja-pekerja asing di negeri ini bagi mengelakkan sebarang masalah termasuk risiko penularan lebih cepat wabak seperti Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya mengakui peningkatan kes positif Covid-19 di negeri ini adalah melibatkan pekerja-pekerja asing yang tinggal di asrama-asrama pekerja yang disediakan oleh majikan masing-masing.

Sehubungan itu juga, katanya, kerajaan negeri menggesa pihak syarikat ataupun kilang perlu menyediakan asrama kepada pekerja asing mereka yang lebih sesuai, terkawal bilangan penghuninya selain tidak mendatangkan masalah kepada penduduk tempatan.

“Kita tidak nafikan bahawa kes-kes positif di negeri ini adalah banyak merupakan kes yang melibatkan syarikat yang mempunyai pekerja asing yang ramai, dan mereka tinggal di satu rumah.

“Kerajaan negeri telah berbincang, perlu ada selepas ini satu kawalan atau bilangan mereka yang menghuni dalam sesebuah rumah, kita tidak mahu terlalu ramai, mereka tinggal dalam satu unit yang kemudian dijadikan asrama dengan tidak terkawal bilangannya,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Sementara itu, kata Aminuddin, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) amat menjejaskan sektor pelancongan di negeri ini termasuk industri hotel khususnya di Port Dickson.

“Ia bukan sahaja berlaku di Port Dickson tapi di seluruh Malaysia, dan di Negeri Sembilan kita mula terasa apabila PKPB bermula di Lembah Klang lebih awal, kita lihat kunjungan pelancong turun cukup banyak.

“Apabila PKPB dilaksanakan hampir di seluruh negara, kita sudah menjangka ia akan memberi lebih kesan kepada industri pelancongan termasuk di Negeri Sembilan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dapat mengambil maklum masalah yang didepani sektor pelancongan di Negeri Sembilan termasuk dengan memastikan peruntukan dalam Belanjawan 2021 dapat benar-benar membantu pihak industri pelancongan.

“Bantuan perlu khususnya kepada industri hotel, dan juga industri sampingan pelancongan seperti pengankutan termasuk bas persiaran. Beri bantuan mungkin seperti lanjutkan moratorium kepada mereka,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya