Perkukuh kerajaan demi Belanjawan 2021 - Utusan Malaysia

Perkukuh kerajaan demi Belanjawan 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Anggota pentadbiran kerajaan dari Barisan Nasional (BN) berkeyakinan Ahli Parlimen parti itu akan memberikan sokongan kepada Belanjawan 2021 bagi memastikan perancangan kerajaan untuk membela nasib rakyat dan memulihkan ekonomi negara dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

Dalam satu kenyataan bersama membabitkan 20 anggota pentadbiran dari BN diketuai Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka bersetuju agar kerajaan yang dibentuk secara muafakat ketika ini terus didokong termasuklah memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam melaksanakan pelan pemulihan ekonomi dan kesihatan rakyat.

“Sehingga itu, kami bersepakat untuk mengukuhkan kedudukan BN di dalam kerajaan dan pada masa yang sama akan menyusun gerak kerja bagi memastikan BN menjadi suara terkuat di dalam kerajaan.

“Bagaimanapun, untuk memastikan kestabilan kerajaan yang lebih jitu, Pilihan Raya Umum perlu diadakan secepat mungkin sebaik sahaja keadaan kesihatan awam mengizinkan untuk memperoleh mandat rakyat yang jelas,” katanya hari ini.

Kenyataan itu berkata, pihaknya mengambil maklum cadangan serta pandangan yang dikemukakan oleh Ahli-Ahli Parlimen BN berkenaan Belanjawan 2021. 

Katanya, cadangan dan pandangan ini akan diambil kira untuk dilaksanakan dari semasa ke semasa.

“Ini kerana negara memerlukan sebuah pentadbiran kerajaan yang stabil bagi memastikan proses pemulihan dapat dilaksanakan secara teratur dan tersusun, maka Belanjawan 2021 perlu disokong dan diluluskan Ahli-Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

“Ia juga adalah selaras dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menasihati Ahli Dewan Rakyat supaya memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021,” katanya. 

Tambahnya, satu mesyuarat juga sudah diadakan bersama Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam memutuskan agar ahli Jemaah Menteri dari BN mengadakan perjumpaan dan bermesyuarat secara lebih kerap bersama Pengerusi BN. 

“Ia bagi mendapatkan panduan berkenaan pendirian dan dasar parti BN untuk disampaikan kepada Jemaah Menteri,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN