PUTRAJAYA: Seorang pekerja am syarikat pengurusan sisa pepejal Alam Flora Sdn. Bhd. yang terlibat nahas jalan raya hari ini dibantu oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Menurut kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, mangsa iaitu Vijaya Kumaran Veerasamy, menerima bantuan untuk pembedahan implan tempurung kiri kepala.
Justeru, Perkeso, agensi di bawah kementerian itu menyampaikan faedah pemulihan Orang Berinsurans kerana mengalami kecederaan otak traumatik teruk dan ia berjumlah RM23,000.
“Dia terbabit kemalangan ketika balik bekerja dari Bukit Bintang, Kuala Lumpur ke Puchong, Selangor pada 12 April lalu dan mengalami pendarahan parah di kepalanya,” kata Saravanan.
Keadaan mangsa berusia 51 tahun itu dilaporkan makin teruk dengan anggota badan sebelah kanan lemah terpaksa bergantung kepada isteri dan dua anak perempuan untuk bergerak.
Beliau menambah, Vijaya yang masih menerima rawatan perubatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), tidak mampu menampung kos pembedahan, namun mujur diketahui pihak Perkeso.
“Semakan dibuat mendapati mangsa mencarum dengan Perkeso mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan memenuhi syarat kelayakan Skim Bencana Pekerjaan,” katanya lagi.
Hasilnya ujar Saravanan, mangsa boleh menerima Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Perubatan dan Faedah Pemulihan melalui Program Return To Work di bawah skim itu.
Ia diserahkannya di Wad Neurologi HKL disaksikan Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz dan Ketua Eksekutif Alam Flora Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Zain Hassan.
Saravanan turut berharap supaya segala bantuan berkenaan termasuk program rehabilitasi dapat memulihkan Vijaya sehingga mampu berdikari semula dan setelah sembuh sepenuhnya.
Malahan ujar beliau lagi, keadaan dan perkembangan mangsa dipantau rapi oleh Pengurus Kes Perkeso agar pencarum dapat pulih dan kembali bekerja seperti biasa secepat mungkin.
FHUS dibayar kepada pekerja sepanjang tempoh cuti sakit yang disahkan doktor, manakala Faedah Perubatan menyediakan rawatan percuma termasuk pakar dari hospital kerajaan.
Sementara Program Return To Work adalah pemulihan komprehensif dan berasaskan kaedah pelbagai disiplin supaya bantuan awal dapat diberi kepada yang cedera atau hidap penyakit. – UTUSAN