BATU PAHAT : Perjalanan seorang pekerja syarikat penghantaran untuk pulang ke rumah tidak kesampaian setelah terlibat dalam nahas jalan raya di Jalan Johor Bahru-Melaka, Senggarang di sini semalam.
Mangsa, Mohd. Jibril Abdul Rahman, 24, dan pemboncengnya berusia 16 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada kepala dalam insiden itu yang membabitkan empat motosikal.
Menurut rakan mangsa, Mohd. Alif Aziz, 20, sebelum kejadian dia dan Mohd. Jibrail bersama lapan lagi rakan baharu sahaja selesai makan malam di sebuah restoran di Sungai Lurus.
“Namun ketika perjalanan pulang ke rumah, dari jarak 100 meter tiba-tiba saya ternampak motosikal dia bertembung dengan beberapa motosikal lain.
“Saya terus memberhentikan motosikal sebelum menghubungi ambulans untuk memaklumkan kejadian itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, ketika kejadian Mohd. Jibril dalam perjalanan pulang ke rumahnya terletak di Kampung Baru, Senggarang dan mereka sering berkumpul khususnya pada hujung minggu.
Dalam pada itu itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila salah seorang penunggang gagal mengawal kenderaan lalu terbabas dan merempuh antara satu sama lain.
“Kemalangan itu juga menyebabkan tiga mangsa lain iaitu dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 16 hingga 18 tahun.
“Mereka dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini,” katanya.-UTUSAN ONLINE