PUTRAJAYA: Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bagi tahun ini akan dilaksanakan secara maya buat pertama kalinya melalui sidang video pada Sabtu ini.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) semalam.
Menurut beliau, persidangan maya itu akan disertai para perwakilan PAT dari seluruh negara di lokasi-lokasi yang ditetapkan.
Katanya, Mesyuarat MPT juga memutuskan untuk mengangkat cadangan bagi meminda perlembagaan parti bagi tujuan penubuhan sayap baharu ahli bersekutu Bersatu ke Persidangan Agung Tahunan 2020 itu nanti.
“Selain merupakan wadah utama di semua peringkat, Perhimpunan Agung Tahunan kali ini juga akan membincangkan hala tuju dan dasar parti dalam aspek ekonomi, politik serta kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, mesyuarat MPT semalam turut membincangkan usaha-usaha kerajaan membendung penularan pandemik Covid-19 dalam negara dan hal-hal berkaitan pentadbiran serta pengurusan parti.
Dalam mesyuarat tersebut, katanya, MPT kekal menyokong penuh Belanjawan 2021 dan menyeru semua pihak untuk terus menyokong serta mempertahankan belanjawan tersebut.
Lokasi persidangan video Perhimpunan Agung Tahunan itu yang ditetapkan adalah Hotel Savanna, Kuala Perlis untuk Perlis; pejabat Badan Perhubungan Negeri BERSATU Kedah di Alor Setar; Hotel Sri Malaysia, Kepala Batas; Hotel H Elites, Kota Bharu; Hotel Raia, Kuala Terengganu dan Hotel Casaurina, Meru, Perak.
Selain itu, lokasi lain ialah Hotel Darul Makmur, Kuantan; Kelab Alam Shah, Shah Alam; Hotel Premiera, Kuala Lumpur; Pejabat BERSATU Negeri Sembilan di Seremban; Amverton Heritage Resort, Melaka; Hotel GBW 9R Johor Bahru; Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di Kota Kinabalu dan Hotel Kingwood, Kuching. -UTUSAN ONLINE