Peranan ASEAN pastikan akses Covid-19 diperoleh

Peranan ASEAN pastikan akses Covid-19 diperoleh, mampu dimiliki semua negara 

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia yakin ASEAN akan terus berperanan penting bagi menghadapi cabaran pandemik Covid-19 menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif dan mekanisme diterajui pertubuhan itu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walau bagaimanapun, segala inisiatif itu perlu dipastikan agar ia menjadi satu platform bagi ASEAN untuk bekerjasama dengan negara luar serta pihak berkepentingan lain dalam menangani kesan pandemik itu di rantau ini. 

Beliau berkata, apa yang lebih utama ketika ini ialah berhubung pembangunan serta akses terhadap vaksin Covid-19, justeru ASEAN perlu berganding bahu dengan pertubuhan antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

“Ini bagi memastikan vaksin itu dapat diperoleh dan mampu dimiliki semua sebaik ia diluluskan.

“Malaysia mengalu-alukan penyertaan rakan kongsi dari luar yang sedia berkongsi kepakaran dan penemuan mereka berkaitan perkara ini,” katanya pada sesi pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 di Kuala Lumpur hari ini. 

Perdana Menteri mengetuai delegasi Malaysia pada sidang kemuncak itu yang diadakan secara maya.

Sidang empat hari itu dipengerusikan Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc selaku Pengerusi Asean 2020 bertemakan ‘ASEAN Kohesif dan Responsif’.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, adalah penting ASEAN memberi fokus kepada Kerangka Kerja Pemulihan Komprehensif ASEAN yang kebanyakan negara anggota adalah dalam kalangan negara membangun.

Dalam hal itu, kata Perdana Menteri, Malaysia berbangga apabila penubuhan kerangka itu yang dicadangkannya pada awal tahun ini menjadi realiti dan dapat diperakukan hari ini.

Beliau menjelaskan, Kerangka Kerja Pemulihan Komprehensif ASEAN itu merupakan satu daripada tiga dokumen rasmi yang akan dikeluarkan pada sidang kemuncak berkenaan selain kajian separuh penggal Wawasan Komuniti ASEAN 2025 dan Rizab Bekalan Perubatan Kecemasan Kesihatan Awam ASEAN.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, ASEAN juga perlu merangka strategi pendekatan pemulihan ekonomi, perdagangan dan pelaburan dengan menerima pakai norma baharu hubungan ekonomi termasuk menerusi teknologi seperti platform digital.

Beliau berkata, pergerakan barangan dan perkhidmatan termasuk operasi infrastruktur kritikal seperti pelabuhan dan lapangan terbang serta rangkaian logistik, masih boleh diakses dan ia dilaksanakan sejajar dengan norma baharu bagi mengekal dan memastikan pertubuhan ekonomi pada tempoh sukar ini.

“Pergerakan penting menerusi Koridor Perjalanan, mesti diberi keutamaan seperti yang sudah dikoordinasikan mengikut prosedur dan peraturan yang ditetapkan antara negara anggota termasuk pergerakan orang ramai di rantau ini kerana ia turut membantu memacu ekonomi.

“Pelan pemulihan ekonomi ASEAN penting  bukan sahaja melihat pertimbangan kewangan, tetapi turut melihat keperluan membentuk perkongsian teguh, sepadu dan ampuh bagi mengekalkan kekayaan jalinan sosial yang menjadi tunjang Komuniti ASEAN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya