Peperiksaan akhir tahun sekolah agama di Selangor dibatalkan - Utusan Malaysia

Peperiksaan akhir tahun sekolah agama di Selangor dibatalkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membatalkan peperiksaan akhir tahun bagi murid Tahap 2 di semua institusi pendidikan agama yang berdaftar di bawah kelolaannya.

Arahan tersebut melibatkan 534 buah institusi meliputi Sekolah Rendah Agama (SRA), SRA Integrasi serta Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Integrasi di seluruh negeri berkenaan.

Pembatalan itu susulan penutupan semua sekolah di Selangor sehingga habis penggal pada 18 Disember disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Bagaimanapun proses pengajaran dan pembelajaran serta pentaksiran Tahap 1 boleh diterus mengikut kesesuaian dan keupayaan guru dan murid,” jelas pekeliling yang diedarkan hari ini.

Seperti juga format penilaian sekolah rendah awam di bawah Kementerian Pendidikan, murid Tahap 1 meliputi Tahun 1, 2 dan 3 memang tiada peperiksaan pertengahan dan akhir tahun.

Kaedah tersebut berbeza daripada pentaksiran murid Tahap 2 iaitu Tahun 4, 5 dan 6 yang dinilai kedudukan prestasi akademik menerusi dua kali peperiksaan besar secara bertulis itu.

Pekeliling dikeluarkan Bahagian Pendidikan Islam JAIS itu namun memaklumkan peperiksaan akhir tahun masih diteruskan untuk pelajar di empat Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS).

“Ia boleh dilaksanakan mengikut kesesuaian dan keupayaan pihak sekolah,” jelas memo itu yang ditandatangani sendiri oleh Ketua Penolong Pengarah di bahagian tersebut, Anas Ayob.

Setakat ini, dianggarkan terdapat hampir 250,000 murid Tahap 1 dan 2 yang belajar di semua SRA, SRA Integrasi dan KAFA Integrasi, manakala MITS pula sekitar hampir 2,000 murid.

Institusi pengajian di bawah JAIS yang wujud sejak akhir abad ke-19 menjadi pilihan ibu bapa di Selangor untuk diseimbangkan dengan kurikulum akademik di sekolah Kementerian Pendidikan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN