Penyeludupan ketum kurang selepas operasi tebang pokok - Utusan Malaysia

Penyeludupan ketum kurang selepas operasi tebang pokok

BADERULHISHAM Baharudin menyertai operasi tebang pokok ketum di Felda Rimba Mas, Padang Besar, Perlis, hari ini.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Operasi tebang pokok ketum di kawasan Felda di negeri ini yang bermula 30 September lalu menunjukkan perkembangan positif dengan pengurangan jumlah penyeludupan daun ketum bulan lalu.

Timbalan Ketua Polis Perlis, Asisten Komisioner, Baderulhisham Baharudin berkata, penebangan pokok ketum di Felda Mata Ayer pada bulan lalu telah menyebabkan penawaran daun ketum kepada penyeludup semakin berkurangan.

Katanya, kira-kira 2,000 batang pokok ketum telah ditebang sepanjang bulan lalu yang melibatkan Felda Mata Ayer sahaja.

“Kita belum ada statistik berapa banyak pengurangan tapi memang ada gangguan dari segi penawaran. Hari ini kita mula tebang di Felda Rimba Mas iaitu kira-kira 100 pokok.

“Selepas ini, kami akan melakukan operasi yang sama di Felda Chuping pula. Pihak kami jangkakan kerja menebang pokok ketum ini siap dalam bulan ini bergantung kepada faktor cuaca,” katanya ketika ditemui pada operasi tersebut di Felda Rimba Mas di sini hari ini.

Pada 30 September lalu, polis Perlis dengan kerjasama Jabatan Tanah dan Galian (JTG) dan Felda telah melaksanakan operasi menebang pokok ketum di Felda Mata Ayer di bawah Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1960.

Difahamkan sebanyak 11 buah rumah di Felda Rimba Mas terlibat dalam operasi menebang pokok ketum tersebut yang dijangka mengambil masa kira-kira seminggu. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN