Penyakit tidak berjangkit tambah beban ekonomi negara - Utusan Malaysia

Penyakit tidak berjangkit tambah beban ekonomi negara

NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: RM100 bilion dalam tempoh tiga tahun lalu.

Demikian jumlah beban terhadap ekonomi negara yang disebabkan oleh penyakit tidak berjangkit utama (kardiovaskular, diabetes dan kanser) yang bersamaan 7.35 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Diabetes menyumbang sebanyak RM10 bilion daripada jumlah tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dari segi kos produktiviti, kerugian sebanyak RM5.7 bilion dilaporkan akibat diabetes berbanding kardiovaskular (RM2.9 bilion) dan kanser (RM357 juta).

“Penyakit diabetes bukan sahaja memberikan kesan negatif terhadap kualiti hidup dan kos penjagaan kesihatan, ia juga menambah beban ekonomi individu, keluarga dan masyarakat serta mengurangkan produktiviti negara,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Diabetes Sedunia bertemakan ‘Diabetes: Jururawat Nadi Perubahan’.

Noor Hisham berkata, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 menganggarkan seramai 3.9 juta atau 18.3 peratus daripada penduduk berumur 18 tahun dan ke atas menghidap diabetes.

Katanya, peningkatan itu ketara berbanding 11.2 peratus pada 2011 dan 13.4 peratus (2015).

Daripada jumlah itu katanya, dianggarkan satu daripada dua pesakit atau 50 peratus tidak mengetahui mereka menghidap diabetes sehingga saringan gula dalam darah dilakukan.

“Laporan National Diabetes Registry 2013-2019 pula menganggarkan hanya 32.4 peratus pesakit diabetes mendapatkan rawatan di klinik kesihatan kerajaan mencapai tahap kawalan diabetes optimum,” katanya.

Katanya, kajian menunjukkan individu berusia, obes, pesakit diabetes dan hipertensi berisiko mendapat jangkitan Covid-19 lebih serius dan boleh membawa maut.

Katanya, pandemik Covid-19 belum nampak tanda-tanda akan berakhir dalam masa terdekat.

“Untuk pesakit diabetes, kepatuhan terhadap rawatan dan nasihat anggota kesihatan serta amalan gaya hidup sihat mampu mengawal diabetes ke tahap optimum dan mencegah komplikasi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya