JEMPOL: Seorang penunggang motosikal maut beberapa jam selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 15, Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang, dekat sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, mangsa, Muhamad Adha Halin, 22, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 6.55 petang di Hospital Jempol ketika mendapatkan rawatan.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Superintenden Mohd. Hafiz Muhammad Nor, kemalangan berkenaan membabitkan dua buah kenderaan iaitu motosikal jenis Yamaha yang ditunggangi mangsa dan kereta jenis Proton Wira yang dipandu oleh seorang wanita berusia 21 tahun.
“Berdasarkan siasatan awal, pemandu kereta sedang dalam perjalanan dari Batu Kikir menghala ke Serting. Sebaik tiba di tempat kejadian, tiba-tiba motosikal yang ditunggang mangsa dari arah bertentangan telah memasuki laluan pemandu kereta untuk masuk ke persimpangan stesen minyak.
“Berlaku pelanggaran. Akibat daripada pelanggaran berkenaan, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala dan dihantar ke Hospital Jempol untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Hafiz berkata, mangsa yang bekerja di sebuah kedai makan bagaimanapun disahkan meninggal dunia di hospital susulan mengalami kecederaan parah di kepala.
Menurutnya, mayat mangsa bakal dibedah siasat di Hospital Jempol bagi mengetahui punca kematian.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – UTUSAN