PASIR PUTEH: Kira-kira 50 penternak ikan kerapu hibrid di Taman Akuakultur Laguna Semerak, di sini berdepan kerugian lebih RM5 juta berikutan hasil ternakan mereka gagal dipasarkan ke luar negara.
Malah, ikan air payau tersebut kini terancam dan mungkin mati jika air dari daratan akibat banjir mengalir ke sungai berkenaan sepanjang tempoh hujan lebat monsun Timur Laut.
Pengerusi Persatuan Penternakan Ikan Laguna Semerak (PPILS), Mustaffa Bakar berkata, tahun lalu penternak kerugian sehingga RM4 juta apabila ikan kerapu hibrid mati akibat air sungai tercemar.
Katanya, tahun ini mereka berdepan masalah sama kerana kuala lama yang tertimbus belum digali semula untuk memulihkan kualiti air sungai.
“Sehingga kini terdapat lebih 2,000 sangkar diusahakan penternak ikan melibatkan kerapu hibrid dan siakap yang gagal dipasarkan kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.
“Kerapu hibrid seberat satu kilogram sepatutnya bernilai tinggi di luar negara kini membesar sehingga tiga kilogram kerana tidak laku dijual.
“Keadaan ini menyebabkan penternak terpaksa menanggung kos makanan tinggi. Apapun, kerajaan negeri sudah tampil membantu membekalkan makanan ikan baru-baru ini,” katanya ketika ditemui di Laguna Semerak semalam.
Mustaffa berkata, sebelum ini bekalan ikan dibeli secara pukal oleh pemborong untuk dieksport namun sejak PKP hasil ternakan ikan tidak laku dijual walaupun untuk kegunaan dalam negeri atau pasaran setempat.
Katanya, harga ikan kerapu hibrid mencecah RM30 sekilogram dan mendapat permintaan tinggi daripada pengusaha restoran dan hotel terkemuka di ibu negara.
“Segalanya sudah berubah kesan musibah Covid-19. Restoran dan hotel menghadapi kekurangan pengunjung. Tempias kerugian berlaku kepada kami apabila permintaan ikan turut merosot,” katanya. -UTUSAN ONLINE