Pensyarah galak pelajar main video untuk tambah ilmu - Utusan Malaysia

Pensyarah galak pelajar main video untuk tambah ilmu

AZREL Zairul Izma Zamri bercita-cita menyambung pengajiannya di peringkat PhD dalam bidang berkaitan permainan video.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Seorang pensyarah muda berjaya mengadaptasi keseronokan ketika bermain permainan video sebagai salah satu kaedah pengajarannya semasa berada di dalam kelas.

Azrel Zairul Izma Zamri, 32, berkata, dia juga tidak pernah menghalang para pelajarnya untuk bermain permainan video malah menggalakkan mereka berbuat demikian setiap kali mempunyai masa terluang.

Katanya, banyak perkara bo­leh dipelajari daripada permainan video termasuk strategi pengurusan kewangan dan sebagainya.

“Sebagai contoh, dalam permainan FIFA (video), setiap pemain yang kita beli dan jual akan dikenakan cukai sebanyak lima peratus dan ini memerlukan kemahiran pengurusan kewangan yang baik untuk menguruskan pasukan kita.

“Sebab itulah kalau boleh saya mahu mereka (pelajar) melihat dunia daripada perspektif berbeza (ketika bermain permainan video),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Pensyarah komunikasi di sebuah kolej swasta di Tanjung Bungah dekat sini memberitahu, pada masa sama, sesetengah permainan video juga boleh membantu meningkatkan kemahiran komunikasi secara psikologi jika seseorang pemain itu menghayati permainan ma­sing-masing.

“Jadi, tidak hairanlah ada dalam kalangan pelajar saya yang lebih berjaya daripada saya (dalam permainan video),” ujar pensyarah lulusan Sarjana Komunikasi dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu.

Selain jadi pensyarah, Azrel Zairul Izma juga seorang pemain video tegar terutama membabitkan permainan bola sepak seperti FIFA dan PES atau Pro Evolution Soccer.

Dia yang menggunakan nama unik iaitu Lembukoyak ketika beraksi juga sering menyertai beberapa kejohanan sukan elektronik utama sebelum ini khususnya sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.

Tambah Azrel Zairul Izma, ketika ini, dia merancang menyambung pengajiannya ke peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang permainan video sebaik sahaja pandemik Covid-19 berakhir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya