Penoreh getah maut gaduh dengan anak saudara - Utusan Malaysia

Penoreh getah maut gaduh dengan anak saudara

SAC ANUAR OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang penoreh getah maut akibat kecederaan parah di kepala setelah dihentak dengan batu-bata dalam pergaduhan di Kampung Plang dekat Gerik hari ini.

Mangsa, Halim Bahari, 61, yang mengalami kecederaan pecah kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pembantu perubatan Klinik Kampung Plang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, pihak polis menerima maklumat daripada orang awam terdapat kejadian amuk melibatkan anak saudaranya pada pukul 4 petang.

Katanya, suspek berusia 30 tahun itu dikatakan mengamuk di hadapan rumah mangsa dan berlaku pergaduhan antara mereka.

“Siasatan mendapati, dalam pergaduhan pada pukul 12 tengah hari itu, suspek telah bertindak menumbuk dan menghentak batu-bata di kepala mangsa sebelum melarikan diri.

“Akibat hentakan itu, mangsa mendapat kecederaan parah iaitu pecah di bahagian kepala akibat dihentak objek keras,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal, kejadian itu berpunca daripada kisah lama membabitkan pergaduhan antara suspek dan mangsa.

Katanya, suspek yang merupakan seorang penganggur berjaya ditahan dan mengaku terlibat dalam pergaduhan dan mencederakan mangsa di kepala.

“Polis telah menemui objek yang digunakan suspek dalam kejadian itu dan perintah reman akan dimohon esok untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN