KUANTAN: Penoreh getah ditahan polis selepas disyaki melakukan pemalsuan surat kebenaran melombong dan membalak menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong secara tidak sah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, suspek berusia 51 tahun ditahan di Balai Polis Gurun, Kedah pada pukul 1.25 petang hari ini.
“Suspek disyaki terlbat pemalsuan surat menggunakan nama Majlis Raja-raja Melayu dalam urusan mendapatkan kebenaran mengeluarkan kayu balak dan perlombongan di Kawasan Hutan Rezab Hulu Jelai Sungai Timah, Batu Yon di daerah Lipis,” ujarnya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd. Wazir berkata, penangkapan itu susulan laporan oleh seorang pegawai Istana Pahang pada 15 Jun lalu tentang salah laku pihak tertentu menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong.
“Pengadu telah membuat semakan dan memaklumkan bahawa tiada sebarang permohonan (kebenaran melombong dan mengeluarkan hasil balak) yang dibuat oleh pihak syarikat tersebut.
“Melalui laporan pengadu, Pejabat Sultan Pahang tidak pernah mengeluarkan sebarang surat sokongan bagi kerja-kerja yang dimaksudkan,” tambahnya.
Katanya, suspek ditahan mengikut Seksyen 466 Kanun Keseksaan berkait dokumen palsu dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.
“Suspek ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis dan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Raub, esok,” tambah Mohd. Wazir. -UTUSAN ONLINE