Peniaga maut alat pemadam api meletup - Utusan Malaysia

Peniaga maut alat pemadam api meletup

ANGGOTA bomba memeriksa lokasi pemadam api meletup sehingga menyebabkan kematian seorang peniaga di Taman Puteri Jaya, Sungai Petani semalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang peniaga warung maut selepas alat pemadam api kereta meletup dalam kejadian di rumahnya di Taman Puteri Jaya di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 petang itu, lelaki berusia 43 tahun tersebut ditemui dalam keadaan berlumuran darah akibat kecederaan pada kaki, paha dan lengan kiri.

Dia kemudian dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini oleh isterinya bersama jiran.

Mangsa yang tiba di zon kuning HSAH masih dalam keadaan sedar, namun disahkan meninggal dunia kira-kira 20 minit selepas itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, isteri mangsa berusia 38 tahun memaklumkan dia mendengar bunyi letupan di kawasan luar rumah.

“Dia kemudian bergegas keluar dan mendapati suaminya terbaring dalam keadaan berlumuran darah dipercayai akibat letupan alat pemadam api kereta yang diletakan di hadapan rumah.

“Mangsa yang mengalami luka pada kaki, paha dan lengan kiri telah dibawa ke HSAH sebelum meninggal dunia tidak lama kemudian,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, seorang saksi yang juga rakan mangsa memberitahu sebelum kejadian dia bersembang sambil melihat mangsa membaiki radio yang dihantarnya.

“Mangsa yang membuat kerja sampingan dengan membaiki peralatan elektronik dikatakan sedang membaiki radio di hadapan rumahnya dengan alat pemadam api itu berada kira-kira satu meter dari tempat mereka berbual.

“Alat pemadam api itu secara tiba-tiba mengeluarkan asap putih lalu mangsa bertindak mengambil alat pemadam api tersebut untuk dibuang sebelum ia meletup,” ujarnya.

Tambahnya, siasatan lanjut mendapati tiada unsur jenayah di tempat kejadian.

“Pihak forensik bomba juga telah melakukan siasatan di lokasi kejadian, namun punca kejadian masih belum dapat dikenal pasti dan kes diklasifikan sebagai mati mengejut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya