Peniaga buah maut ditikam selepas tuntut hutang - Utusan Malaysia

Peniaga buah maut ditikam selepas tuntut hutang

MAYAT peniaga buah dalam bengkel kenderaan selepas ditikam seorang mekanik dalam kejadian di Kampung Selamat, Sitiawan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Seorang peniaga buah yang menuntut hutang daripada seorang mekanik kereta berakhir tragedi apabila dia maut dalam pergaduhan dengan suspek di Sitiawan dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah hari di Jalan Raja Omar, Kampung Selamat, Sitiawan di sini, mangsa yang berusia 42 tahun mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah dengan kesan tikaman di leher dan perut.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, mangsa bersama anaknya yang berusia 15 tahun dikatakan datang ke bengkel suspek kerana mahu menuntut hutang sebelum berlaku pergaduhan.

“Mangsa dikatakan memukul suspek sebelum peniaga itu mencari pisau dalam bengkel tersebut kemudian berlaku pergelutan antara kedua mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Nor Omar berkata, suspek mendakwa merampas senjata daripada mangsa sebelum menikam peniaga itu di leher dan perut.

Katanya, suspek yang dalam keadaan berlumuran darah kemudian menyerah diri kepada polis sambil membawa pisau yang digunakan dalam pergaduhan.

Menurut beliau, suspek berusia 51 tahun ditemani adiknya berusia 40-an datang ke balai polis memaklumkan kejadian itu pada pukul 1.20 tengah hari tadi.

Nor Omar berkata, siasatan awal mengenal pasti punca kejadian disebabkan masalah hutang namun polis masih terus menjalankan siasatan lanjut kes tersebut.

Ujar beliau, sehingga kini tiga saksi sudah diambil keterangan termasuk suspek dan adiknya yang ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN