SEREMBAN: Menyedari ramai golongan terjejas ekoran pandemik Covid-19, seorang pengusaha restoran, Azran Asziz Yazid, 41, mengambil inisiatif menghulurkan bantuan makanan kepada golongan memerlukan.
Aszran yang mengusahakan perniagaan Republika Cafe di sini memberitahu, dia terpanggil untuk menyampaikan bantuan kepada segelintir masyarakat yang kini berdepan kesukaran selepas kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.
Ujarnya, menerusi program Zero Hunger, penduduk di kawasan Nilai dekat sini dan sekitarnya yang terjejas dibantu menerusi pemberian bantuan makanan.
“Program Zero Hunger merupakan inisiatif saya bersama rakan niaga, Wan Aznuwar Wan Azhar dan Abdul Raol Salhudin, kami merasakan ini merupakan tanggungjawab sosial untuk membantu golongan yang terjejas sepanjang Covid-19 melalui bantuan makanan.
“Proses penyediaan makanan dilakukan di restoran kemudiannya diagihkan kepada golongan sasar ini pada setiap hari Sabtu dan Ahad,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.
Menurut Azran Asziz lagi, walaupun dia sendiri sebagai peniaga agak terjejas akibat Covid-19, itu bukan alasan untuk tidak memberikan bantuan.
“Berdasarkan maklumat yang kami terima, memang ramai yang susah ketika ini hidup dalam kemiskinan selain kekangan duit akibat kehilangan kerja untuk memberi anak-anak makan.
“Kami juga membantu isi rumah yang terpaksa kuarantin di rumah selepas terdapat laporan kes positif Covid-19 di kediaman mereka seperti di Taman Nilai Perdana,” katanya.
Jelas Azran Asziz, sepanjang program ini dilaksanakan bermula awal bulan lalu sebanyak 50 hingga 70 pek makanan telah diagihkan kepada penduduk di sekitar Nilai.
“Alhamdulillah sambutan yang diterima amat menggalakkan dan kami berhasrat untuk memperluaskan sumbangan dan berharap mendapat kerjasama daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang ingin turut sama membantu.
“Individu yang terjejas atau mereka yang mempunyai maklumat mengenai golongan kurang berkemampauan boleh menyampaikan maklumat kepada pihak kami menerusi Facebook Republika Cafe atau menghubungi talian 019-8319322,” katanya.- UTUSAN