SEGAMAT : Pengusaha bekam di Kampung Sedeng di sini mengeluh apabila pendapatan bulanan merosot akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara awal tahun ini.
Syed Mohd. Nazrin Syed Mohd. Bakri, 33, yang juga orang kelainan upaya (OKU) buta penglihatan mata kanan berkata, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac lalu, dia mampu meraih pendapatan sehingga RM1,500 sebulan.
Namun, sehingga kini pendpatan semakin merosot malah untuk mendapatkan RM400 pun belum tentu.
“Pandemik Covid-19 banyak memberikan impak kepada mereka yang bekerja sendiri dan bergantung semata –mata kepada pelanggan untuk mendapatkan bayaran, saya juga kena tempiasnya.
“Sebab Mac hingga Mei kami memang dapat jalankan perniagaan sebab bekam tidak dibenarkan beroperasi sebab melibatkan kontak fizikal, jadi Kementerian Kesihatan tidak benarkan.
“Perniagaan ini merupakan punca pendapatan utama saya dan isteri sejak tiga tahun lalu. Dulu sebelum PKP, kita boleh mencecah RM1,500 sebulan, sekarang nak dapat RM400 pun susah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Syed Mohd. Nazrin berkata, demi meneruskan kelangsungan hidup dia dan isterinya, Ruzi Dahlia A. Rahim, 35, menjual minyak wangi dan beberapa produk perubatan tradisional bagi menampung kehidupan.
Jelas bapa kepada tiga cahaya mata itu, sehingga kini perkhidmatan bekam sukar untuk bangkit semula kerana orang ramai bimbang dan takut dijangkiti Covid-19 kerana melibatkan sentuhan fizikal antara pembekam dan pesakit.
“Apa yang saya ingin kongsikan di sini, walaupun berbekam melibatkan sentuhan fizikal tetapi kita turut mengikuti prosuder operasi standard (SOP) yang disarankan pihak KKM semasa menjalankan kaedah bekam.
“Antaranya adalah tidak berbual dengan pesakit, memakai sarung tangan, mensanitasi kawasan berbekam sebelum dan selepas bekam, memastikan peralatan berbekam dibersihkan menggunakan cecair pembersih di dalam UV sterilizer,” katanya.
Dalam pada itu, Syed Nazrin berkata, dia menjadi buta mata kanan ketika berusia sembilan tahun lalu selepas matanya tercucuk batang paip PVC sebelum pancaindera semakin kabur dan disahkan buta kekal.
Berbekalkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM300 setiap bulan, Syed Nazrin tetap melahirkan rasa syukur kerana masih diberikan kudrat dan kesihatan untuk mencari rezeki walaupun pendapatannya banyak terjejas akibat Covid-19.
Bagi mereka yang ingin menggunakan perkhidmatan bekam, Syed Nazrin boleh dihubungi di talian 01121922240 atau di Facebook Syed Terapi Bekam. -UTUSAN ONLINE