Pengusaha bas sekolah Shah Alam luah ‘derita’ pendapatan terjejas teruk - Utusan Malaysia

Pengusaha bas sekolah Shah Alam luah ‘derita’ pendapatan terjejas teruk

RAMLAH Ibrahim (tengah) menerima sumbangan daripad Ahmad Dusuki Abd Rani di Seksyen U12, Shah Alam, hari ini. -Foto ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penutupan semua sekolah akibat penularan Covid-19 memberi tempias besar kepada lebih 100 pengusaha bas di sekitar bandar raya ini yang terjejas teruk sejak Mac lalu.

Lebih memeritkan, segelintir mereka yang rata-ratanya berusia 50 tahun ke atas berdepan tindakan muflis dan risiko penarikan kenderaan akibat kemerosotan sumber pendapatan itu.

Pengusaha bas, Syed Azaha Syed Noor, 64, berkata pendapatannya menyusut hampir 80 peratus sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pada bulan Ogos dan September, saya dapat bernafas seketika apabila menerima semula permintaan ibu bapa yang mahu perkhidmatan bas.

“Namun, keperitan dirasai semula apabila semua sekolah diarah tutup sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bulan lalu. Malah, sehingga kini saya tidak mempunyai sebarang pendapatan lain.

“Saya telah mengusahakan bas selama 33 tahun dan berharap kerajaan turut menyalurkan bantuan bersasar bagi meringankan beban pengusaha bas,” katanya ketika ditemui di Seksyen U12 di sini hari ini.

Terdahulu, seramai 60 pengusaha bas sekolah menerima sumbangan barangan keperluan daripada Maahad Tahfiz An-Nabawi, Seksyen 8 yang diserahkan Penasihatnya, Ahmad Dusuki Abd. Rani.

Pada 1 November lalu, Maahad Tahfiz itu turut menyalurkan sumbangan barangan keperluan kepada seramai 63 pemandu teksi di Shah Alam yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, bagi Ramlah Ibrahim, 58, dia antara 30 pengusaha bas wanita yang berdepan masalah hutang tertunggak akibat tiada pendapatan.

“Saya memiliki dua bas namun kini terpaksa menemui pihak bank bagi mengelak dikenakan tindakan penarikan akibat tidak mampu membayar ansuran bulanan.

“Ada daripada pengusaha juga ‘gulung tikar’ kerana diisytiharkan muflis dan saya tidak mahu keadaan menjadi seteruk itu,” kata ibu tunggal itu.

Kementerian Pendidikan hari ini mengumumkan semua sekolah dan institusi pendidikan seluruh negara ditutup bermula esok sehingga 17 dan 18 Disember depan iaitu pada tarikh akhir sesi persekolahan tahun ini.

Menteri Pendidikan, Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, sesi persekolahan tahun depan bermula pada 20 Januari 2021 sepertimana Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan Tahun 2021 yang diumumkan sebelum ini.

Semua murid sekolah rendah akan memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada tarikh tersebut termasuk sekolah menengah bagi pelajar Tingkatan 1, Tingkatan 4, Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 serta semua murid Kolej Vokasional. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya