Pengusaha bas Pahang rayu bantuan - Utusan Malaysia

Pengusaha bas Pahang rayu bantuan

ZAINAL Abidin Mehat ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Kuantan, Pahang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Gabungan Pengusaha Bas Malaysia Cawangan Pahang meminta kerajaan membantu kira-kira 80 ahli mereka yang berdepan risiko gulang tikar terutama sejak penularan wabak Covid-19.

Wakil sekretariat gabungan itu, Zainal Abidin Mehat berkata, pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat lalu dilihat tidak banyak membantu meringankan bebanan ditanggung mereka yang semakin terhimpit dengan tunggakan hutang dan kos operasi syarikat masing-masing.

“Kita sedang berdepan masalah yang sangat serius sejak tahun lalu dan apabila kerajaan menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada Mac tahun ini, banyak pengusaha terduduk kerana tidak lagi mampu menanggung beban terutamanya tunggakan hutang.

“Kami cadangkan supaya kerajaan pertimbangkan untuk membantu menstrukturkan semula pinjaman dianggarkan berjumlah RM3 bilion. Maknanya, beban pinjaman dipindahkan kepada SME Bank atau Bank Pembangunan Malaysia dan kami (pengusaha) dapat strukturkan semula pinjaman dengan institusi terbabit dengan kadar faedah lebih berpatutan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas bersama 10 pengusaha bas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.

Laporan polis berkenaan dibuat terhadap Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya kerana mendakwa tidak ada dana khusus diperuntukkan bagi membantu pengusaha bas.

Zainal Abidin berkata, jumlah tunggakan pinjaman RM3 bilion itu membabitkan hutang ditanggung pengusaha bas di seluruh negara.

”Kalau di Pahang pula, kami secara keseluruhan mempunyai bebanan hutang berjumlah RM200 juta, ia membabitkan pelbagai jenis hutang antaranya tunggakan sewa beli bas, kos penyelenggaraan, bayaran gaji pekerja dan pelbagai kos lain.

“Jika mereka (Kerajaan) tidak boleh membantu kami, saya percaya lebih ramai lagi pengusaha bas di Pahang berisiko menghentikan operasi mereka dan akhirnya mengakibatkan ramai pekerja kehilangan mata pencarian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya