JOHOR BAHRU: Pengumuman saat akhir Kementerian Pendidikan berhubung penutupan sesi persekolahan dilihat menyusahkan semua pihak termasuk ibu bapa kerana keputusan itu gagal mengambil kira pelbagai aspek sebelum diumumkan.
Bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, pelbagai persoalan tercetus susulan langkah tersebut apabila situasi bakal dihadapi ibu bapa untuk menanggung kos pembelian tiket dan tambang perjalanan apatah lagi melibatkan 2.4 juta keluarga miskin.
“Malah ia telah menyukarkan ibu bapa yang terpaksa mencari cara untuk merentas negeri untuk mengambil anak-anak di asrama. Persoalan dibangkitkan di sini mengapa pengumuman penting dibuat secara tiba-tiba?
“Kedua, apakah status guru duka lara yang telah lama berjauhan dengan pasangan masing-masing? Selama ini mereka terpaksa menanggung beban membeli tiket berkali-kali akibat pengumuman saat akhir. Adakah dibenarkan kembali bersama setelah berbulan-bulan tidak bersua terutama mereka terpaksa berulang alik antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung?,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu,Maszlee merangkap Ahli Parlimen Simpang Renggam juga menyentuh nasib lebih 600,000 murid penerima Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang tidak boleh ke sekolah dan sama ada kerajaan mempunyai perancangan khas membantu lebih setengah juta penerima bergantung penuh kepada bantuan itu.
Katanya lagi, pendapatan 70,000 pekerja pekerja kantin yang selama ini menerima gaji harian juga sama terjejas dan sekali gus memerlukan perhatian besar oleh kerajaan memandangkan mereka rata-ratanya daripada golongan miskin dan B40.
“Selain itu bagaimana apakah perancangan untuk 36.9 peratus murid yang tiada peranti di rumah? Apakah perancangan alternatif untuk memastikan golongan ini tidak ketinggalan ketika rakan-rakan mereka yang lain melaksanakan kelas dalam talian bersama guru mereka?” katanya.
Maszlee juga menyentuh jaminan terhadap keciciran murid dan pelajar selepas sekolah dibuka kelak kerana beliau difahamkan pelajar tingkatan satu dan tiga hanya kembali ke sekolah pada Mac 2021 sekali gus bermakna mereka akan berada di rumah sekitar tiga bulan.
“Terdapat kajian menyatakan ketidakhadiran murid ke sekolah selama 14 minggu boleh menyebabkan anak-anak kehilangan pembelajaran seolah-olah dua tahun lamanya. Adakah pihak kementerian akan mengeluarkan data murid cicir pasca PKP kepada umum kelak?” ujar beliau.
Sementara itu, Maszlee mengesa kerajaan melaksanakan bantuan psikologi dan mental untuk anak-anak bakal menduduki peperiksaan penting kerana mereka dipercayai adalah golongan paling terjejas akibat beberapa pengumuman penundaan peperiksaan penting bagi menentukan masa depan mereka kelak.
Beliau dalam pada itu bersedia bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk mempermudah sebarang urusan dan juga memastikan bukan sekadar nyawa anak-anak yang boleh diselamatkan tetapi juga masa depan pendidikan mereka. -UTUSAN ONLINE