PUTRAJAYA: Pengguna disaran memanfaatkan aplikasi price checker bagi menyemak harga barang termasuk kedai yang menawarkan pilihan harga yang terbaik.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanti Linggi berkata, semakan yang dibuat termasuklah isu harga bawang import dari India yang sebelum ini menimbulkan rungutan dalam kalangan orang ramai.
Katanya, urusan pengimportan bawang sebenarnya adalah di bawah seliaan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.
“KPDNHEP sebaliknya bertindak dalam memastikan tiada elemen pencatutan atau tindakan menaikkan harga secara tidak munasabah dalam pasaran,” katanya menerusi kenyataan.
Bekalan ujarnya, diimport dari 29 negara dengan lima daripadanya merupakan pengeksport terbesar dan diterajui oleh India yang merekodkan 149,539,411 kilogram pada tahun ini.
Negara rantau Asia Selatan itu mencatatkan 36 peratus bekalan bawang diikuti Pakistan (23 peratus), China (19 peratus), Belanda (sembilan peratus) dan Thailand (tujuh peratus).
“Jumlah besar ini berdasarkan minat dan cita rasa rakyat sendiri,” jelas Alexander sambil menambah ada lapan jenis yang diimport antaranya bawang kecil merah dan besar dari India.
Juga bawang merah dan bawang kecil merah China, bawang kecil merah rose dan bawang kecil merah Myanmar, bawang kecil merah Thailand serta bawang besar kuning Belanda.
Malaysia kata beliau, mengimport bawang daripada pelbagai negara sebagai antara strategi berkesan bagi memastikan bekalan cukup dan tidak hanya bergantung kepada sesebuah negara sahaja.
“Jika ada negara mengalami bencana alam atau sekatan ekonomi, maka kita tidak terancam dan bekalan tidak terganggu walaupun harga mungkin menerima impaknya,” tegas beliau.
Alexander merujuk tindakan India pada 14 September lalu melarang eksport kecuali jenis Bangalore Rose dan Krishnapuram bagi menampung keperluan domestik ekoran isu banjir.
Susulan itu ujar beliau, sebanyak 121 syarikat pengimport tempatan mula meningkatkan alternatif sumber bekalan bawang yang diimport dari Pakistan, China, Thailand dan Belanda.
“Harga bawang adalah sama seperti barangan lain yang bergantung kepada penawaran dan permintaan, jika bekalan kurang tapi permintaan tinggi, maka harga akan naik,” katanya.
Jelas beliau, inilah yang berlaku kepada bawang India yang sedikit sebanyak pengaruhi keseluruhan bekalan kecuali beberapa jenis seperti bawang Holland.
“Pihak KPDNHEP tidak teragak-agak ambil tindakan jika terbukti ada kes seperti Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) Pindaan 2020,” tegasnya.
Pengguna juga boleh beri maklum balas menerusi e-mel [email protected], Call Centre 1800-886-800, aplikasi telefon pintar Ez ADU atau whatsapps (019-2794317).-UTUSAN ONLINE