Pengeluar telur didenda RM25,000 catut jualan telur gred A - Utusan Malaysia

Pengeluar telur didenda RM25,000 catut jualan telur gred A

PENGUATKUASA KPDNHEP menyita kira-kira 30,000 biji telur gred A dalam serbuan di sebuah kilang pengeluar telur di Durian Tunggal, Alor Gajah pada Mac tahun lalu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sebuah syarikat pengeluar telur terbesar di negeri ini didenda sebanyak RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah mencatut jualan telur ayam gred A pada Mac tahun lalu. 

Hakim Norma Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas syarikat terbabit, LTK (Melaka) Sdn. Bhd. menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah hari ini. 

Sebelum ini, syarikat itu membuat pengakuan tidak bersalah dan diarahkan untuk membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah sepanjang perbicaraan berlangsung sejak 16 April tahun lalu. 

Mengikut pertuduhan, LTK (Melaka) Sdn. Bhd. didapati telah melakukan kesalahan mencatut dalam perjalanan perniagaan menjual telur ayam gred A di sebuah kilang di Durian Tunggal, Alor Gajah pada 7 Mac 2019. 

Bagi kesalahan itu, syarikat tersebut didakwa mengikut Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan. 

Jika sabit kesalahan, pertubuhan atau perbadanan terbabit boleh didenda tidak melebihi RM500,000 dan bagi kesalahan kali yang kedua atau yang berikutnya, didenda sehingga RM1 juta. 

Terdahulu, tertuduh diwakili Peguam Nasdan Rengganathan Abdullah merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan ia merupakan kesalahan kali pertama anak guamnya dan kesalahan yang dilakukan lebih kepada faktor teknikal. 

Tertuduh turut memberi alasan penurunan harga telur di pasaran juga sedikit sebanyak menjejaskan perniagaan syarikat.

Timbalan Pendakwa Raya, Syazwani Zawawi dan Pegawai Pendakwa Sallim Wahid memohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran terhadap tertuduh. 

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM25,000 atau penjara lima bulan jika gagal bayar. Syarikat itu kemudian membayar denda tersebut. 

Media sebelum ini melaporkan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, menyita sebanyak 30,000 biji telur ayam gred A bernilai kira-kira RM10,000 di sebuah kilang pengeluar telur di Durian Tunggal membabitkan kesalahan pencatutan.

Dalam serbuan berkenaan, pihak KPDNHEP mendapati kilang yang telah beroperasi lebih lima tahun itu disyaki menaikkan harga bagi mendapat keuntungan tinggi sejak Disember 2018. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya