GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang memutuskan melanjutkan pengecualian fi hotel untuk enam bulan lagi iaitu dalam usaha menyokong proses pemulihan sektor perkhidmatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin berkata, keputusan melanjutkan pengecualian fi hotel sehingga 30 Jun 2021 itu diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 11 November lalu.
Menurut beliau, kerajaan negeri memahami kesukaran yang dihadapi ramai penggiat industri pelancongan pada masa ini dalam menghadapi pandemik Covid-19.
“Ini adalah salah satu usaha kerajaan negeri untuk menyokong proses pemulihan industri pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Fi hotel yang dahulunya dikenali Fi Kerajaan Tempatan dikenakan pada kadar RM3 setiap malam bagi tempahan bilik di hotel empat dan lima bintang.
Bagi tempahan hotel tiga bintang dan ke bawah termasuk asrama, hotel bajet, hostel dan rumah tumpangan pula, fi hotel yang dikenakan adalah pada kadar RM2 setiap malam.
Menurut Soon Hin, proses pemulihan industri pelancongan di negeri ini akan mengambil masa dan kerajaan negeri berharap lanjutan pengecualian fi hotel itu dapat menyokong usaha penggiat industri pelancongan menghadapi cabaran norma baharu.
Katanya, inisiatif itu juga diharapkan dapat membangunkan semula sektor pelancongan di Pulau Pinang. -UTUSAN ONLINE