MELAKA: Pengawal keselamatan maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di hadapan sebuah kilang di kawasan Perindustrian Tasek Utama Ayer Keroh, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, mangsa, Jamil Said, 59, yang menunggang motosikal jenis Benelli disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Hasan Basri Yahya berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Durian Tunggal, Alor Gajah menghala ke Ayer Keroh.
“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika MPV berkenaan sedang membelok ke dalam kawasan kilang sebelum mangsa tiba-tiba merempuh bahagian sisi kiri sebuah MPV jenis Toyota Wish.
“Akibat rempuhan itu, mangsa telah jatuh ke jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya.
Hasan Basri berkata, pemandu MPV berkenaan yang merupakan seorang wanita berusia 34 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ujar beliau, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.
“Siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 selain kedua-dua kenderaan kini ditahan untuk dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk tindakan lanjut,” katanya. -UTUSAN ONLINE