Pengawal keselamatan maut, kelindan lori ditahan - Utusan Malaysia

Pengawal keselamatan maut, kelindan lori ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang kelindan lori selepas dipercayai mempunyai kaitan dengan kes bunuh seorang lelaki yang ditikam menggunakan objek tajam di perumahan awam di Cheras, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras,  Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, lelaki berusia 41 tahun itu ditahan kira-kira pukul 8 malam dalam serbuan di kawasan perumahan awam, tidak jauh dari lokasi kejadian. 

Katanya, semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah melibatkan kes curi dan ugutan serta tujuh rekod penyalahgunaan dadah.

“Ujian saringan awal air kencing dijalankan terhadap suspek mendapati dia negatif dadah. 

“Suspek kini direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 15 Oktober depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 320 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Tambah Mohamed Mokhsein, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif kejadian.

Semalam, akhbar melaporkan seorang pengawal keselamatan maut dipercayai ditikam objek tajam selepas berlaku pertengkaran antara mangsa dengan seorang lelaki di lokasi kejadian.

Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring di hadapan kedai runcit di tingkat bawah perumahan awam berkenaan kira-kira pukul 2.03 petang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN