Penganggur tak sempat edar ekstasi dicekup polis

Penganggur tak sempat edar ekstasi dicekup polis

MUSTAFA Kamal Gani Abdullah menunjukkan pil ekstasi yang dirampas daripada seorang lelaki di hadapan sebuah hotel di Georgetown dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang semalam. - FOTO/MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Seorang lelaki tidak sempat mengedar bekalan pil ekstasi yang baharu diterimanya daripada pembekal selepas dicekup polis di hadapan sebuah hotel di sini Sabtu lalu.

Penganggur berusia 41 tahun itu dicekup sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN) kira-kira pukul 8.20 malam bersama-sama 4,780 biji pil ekstasi di dalam 10 bungkusan plastik lutsinar.

Menurut Ketua JSJN, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah, daripada jumlah rampasan itu, sebanyak 1,453 biji merupakan pil ekstasi berwarna biru yang dibungkus di dalam tiga plastik lutsinar manakala 3,327 biji berwarna krim muda di dalam tujuh bungkusan lutsinar.

Menurut beliau, kesemua rampasan itu bernilai kira-kira RM90,000 yang mana sekiranya terlepas ke pasaran boleh digunakan seramai 4,780 orang untuk tujuan berhibur khususnya di kelab malam.

“Siasatan awal mendapati bekalan itu diperoleh suspek daripada pengedar dari Perak untuk dijual sendiri di pasaran tempatan.

“Ujian air kencing ke atasnya juga didapati positif methapethamine dan AMP dan suspek juga mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Menurut Mustafa Kamal Gani, suspek kini ditahan reman selama enam hari sehingga 13 November ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menambah, polis negeri ini sepanjang tahun ini sehingga 8 November lalu berjaya merampas sebanyak 1,209.4 kilogram (kg) dadah sintetik dan tradisional bernilai RM12.3 juta.

Dalam tempoh sama juga, katanya, seramai 8,587 orang berjaya ditahan yang mana 2,011 orang merupakan pembekal manakala 4,488 orang adalah pemilik dadah.

Jelas beliau, tangkapan berkaitan dadah itu berkurang sebanyak 23 peratus atau 1,956 kes berbanding tempoh sama tahun lalu manakala nilai rampasan dadah berkurang RM12.2 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN