SUNGAI PETANI: Para penduduk Ladang UP Bukit Selambau di sini teruja dan tidak sabar menikmati capaian internet yang lebih baik setelah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mula membina sebuah menara telekomunikasi sementara di kawasan tersebut.
Mereka selama ini berhadapan dengan pelbagai masalah terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah dan universiti yang gagal mengikuti kelas dalam talian berikutan capaian internet yang lemah.
Penduduk, V. Barathidasa, 26, berkata, dia berasa gembira apabila melihat perkembangan positif dalam usaha menyelesaikan masalah capaian internet di kampung mereka.
Katanya, selepas hampir dua bulan masalah capaian internet ini dilaporkan, penduduk kampung kini boleh menarik nafas lega sebaik sahaja melihat projek pembinaan menara telekomunikasi sementara mula dilaksanakan.
“Pembinaan menara telekomunikasi ini telah dilakukan sejak seminggu yang lalu dan penduduk difahamkan menara ini dijangka siap dalam tempoh dua minggu lagi.
“Sebagai penduduk, saya berasa lega dan gembira melihat perkembangan positif dan berharap dengan pembinaan menara telekomunikasi sementara ini dapat menyelesaikan masalah capaian internet di kampung ini secepat mungkin,” katanya di sini hari ini.
Mingguan Malaysia pada 20 September lalu melaporkan setelah sekian lama berhadapan dengan masalah akses internet, penduduk di Ladang UP Bahagian Bukit Selambau mengambil inisiatif membina ‘menara’ telekomunikasi mereka sendiri.
Kawasan estet kelapa sawit tersebut yang juga dikenali sebagai Kampung Kongsi 14 yang terletak kira-kira 20 kilometer dari bandar ini didiami kira-kira 170 orang penduduk.
Menurutnya, mereka bukan sahaja tidak mempunyai akses internet malah talian telefon juga sukar didapati menyebabkan pelbagai kesukaran kepada penduduk terutamanya ketika kecemasan.
Mengimbau kepayahan mereka sebelum ini, Barathidasa yang juga bekas graduan Universiti Malaya (UM) berkata, dia dan rakannya terpaksa pergi ke kawasan perumahan lain yang terletak sejauh lima kilometer bagi mendapatkan akses internet.
Kawasan estet kelapa sawit yang dikenali Kampung Kongsi 14 terletak kira-kira 20 kilometer dari bandar Sungai Petani dan didiami kira-kira 170 orang penduduk.
Seorang lagi penduduk, Rahman Abu Mansor,57, memberitahu, pihak SKMM memaklumkan pembinaan menara telekomunikas itu dijangka dapat mengatasi sementara masalah capaian internet untuk kemudahan penduduk di sini.
“Penduduk difahamkan menara telekomunikasi sementara ini akan berfungsi hampir sama seperti menara tetap dan dapat memberi manfaat kepada penduduk tidak lama lagi,” tambahnya.
Pelajar kolej swasta, Siti Nor Dalilawati Syahril, 20, berkata, dia dan beberapa pelajar lain di kampung ini mengharapkan menara telekomunikasi itu akan dapat berfungsi dengan segera untuk memudahkan mereka mengikuti kelas secara dalam talian.
“Sebelum ini, saya terpaksa keluar ke bandar Sungai Petani berdekatan sekiranya mempunyai tugasan kolej yang memerlukan capaian internet,” katanya. -UTUSAN ONLINE