Penduduk Terengganu paling ‘kuat’ makan, minum? - Utusan Malaysia

Penduduk Terengganu paling ‘kuat’ makan, minum?

PULAU di Terengganu antara yang tercantik dan sepatutnya kita hargai keunikannya. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mungkin ramai selama ini membuat andaian penduduk di Lembah Klang dan negeri maju paling banyak berbelanja untuk makan dan minum, namun faktanya adalah lain.

Berdasarkan kajian dilakukan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), penduduk Terengganu paling tinggi menghabiskan belanja bulanan bagi tujuan itu di negara ini sepanjang tahun lalu.

Rakyat negeri Pantai Timur Semenanjung itu dilaporkan purata setiap bulan belanja RM967 berbanding Melaka di tempat kedua dengan cuma RM894 pada 2019 dan RM809 pada 2016.

Uniknya, rekod sama dipegang oleh Terengganu menerusi kajian dilaksanakan pada 2016 lalu iaitu RM916 dan angka untuk dua tahun ini juga adalah jauh di atas paras nasional sendiri.

Bayangkan secara purata, paras kebangsaan hanya RM783 pada 2019 lalu serta RM726 pada 2016 dengan isi rumah di Sabah didapati paling kurang berbelanja bagi makan dan minum.

Negeri ‘di bawah bayu’ itu hanya catat RM644 (2019) dan RM617 (2016) diikuti Pulau Pinang iaitu RM697 (2019) dan RM668 (2016) waima negeri itu terkenal bergelar syurga makanan!

Penduduk jiran Pulau Mutiara, Perak pula menduduki tempat ketiga kurang belanja bulanan bagi tujuan serupa dengan hanya sanggup mengeluarkan RM700 (2019) dan RM655 (2016).

Apa yang menarik, walaupun gaji purata warga Kuala Lumpur adalah tertinggi di Malaysia, penduduk di wilayah ini berbelanja sedikit iaitu sebanyak RM800 (2019) dan RM742 (2016).

Begitu juga Putrajaya dengan pendapatan purata kedua tertinggi di negara ini, isi rumah di wilayah itu juga hanya sanggup berbelanja makan minum RM779 (2019) dan RM718 (2016).  

Secara umum, rekod DOSM mendapati, selain Sabah, Pulau Pinang dan Perak di bawah paras nasional, turut serta kurang berbelanja tujuan sama ialah Kedah, Pahang dan Sarawak.

Sementara Johor, Kelantan, Negeri Sembilan, Perlis, Sarawak, Selangor dan Labuan berada di atas paras nasional bersama dengan Terengganu, Melaka, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Laporan kajian DOSM itu secara tidak langsung menunjukkan trend pemakanan penduduk di setiap negeri adalah berbeza dan ia juga mungkin dipengaruhi oleh pelbagai faktor tempatan.  -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya