Penduduk Putrajaya paling banyak berbelanja - Utusan Malaysia

Penduduk Putrajaya paling banyak berbelanja

MOHD. UZIR MAHIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Warga Putrajaya dikenal pasti sebagai paling tinggi berbelanja sepanjang tahun lalu, mengatasi jirannya sendiri, Kuala Lumpur dan juga Selangor di tempat ketiga.

Ia hasil kajian Perbelanjaan Penggunaan Isi Rumah yang dijalankan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) di seluruh negara melibatkan perbandingan antara rekod 2016 dan 2019.

Berdasarkan tinjauan, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin melaporkan, Wilayah Persekutuan yang ketiga itu malah kekal merekodkan purata tertinggi.

“Penduduk Putrajaya berbelanja bulanan purata RM7,980 pada 2019 berbanding RM6,971 pada 2016 dengan kadar pertumbuhan 4.5 peratus,” katanya dalam laporan diterbit DOSM.

Perbelanjaan purata setiap bulan warga Kuala Lumpur pula RM6,913 pada 2019 berbanding RM6,214 pada 2016, manakala Selangor ialah RM5,830 (2019) berbanding RM5,183 (2016).

Kadar peringkat nasional ialah RM4,534 (2019) berbanding RM4,033 (2016) iaitu naik 3.9 peratus. Selain tiga negeri ini, Johor, Melaka dan Pulau Pinang juga mengatasi paras ini.

Majoriti perbelanjaan melibatkan isu perumahan dan utiliti, kecuali Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Pahang, Perlis dan Terengganu yang lebih berbelanja isu makanan dan minuman.

Statistik itu turut menunjukkan warga Putrajaya paling kuat berbelanja untuk isu perumahan dan utiliti iaitu RM2,314 berbanding negeri-negeri lain dan paras nasional di bawah RM1,000.

Penduduk di wilayah ini juga dikesan banyak berbelanja bulanan untuk isu pengangkutan iaitu RM1,050 serta jauh amat tinggi berbanding semua negeri dan paras nasional hanya RM611.

Bahkan, perbelanjaan bulanan untuk isu kesihatan dan pendidikan juga dikuasai Putrajaya masing-masing RM191 dan RM162, berbanding paras nasional hanya RM95 dan RM70.

Situasi itu mungkin disebabkan kesedaran tinggi masyarakatnya dalam isu tersebut, selain faktor pendapatan golongan penengah iaitu RM9,983 lebih tinggi daripada kadar nasional.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya