Penduduk Pengkalan Maras bimbang hakisan pantai  - Utusan Malaysia

Penduduk Pengkalan Maras bimbang hakisan pantai 

PENDUDUK Kampung Pengkalan Maras di Batu Rakit, Kuala Nerus melihat hakisan pantai yang semakin meruncing di kawasan itu.-UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Ketibaan musim tengkujuh menambahkan keresahan penduduk di Kampung Pengkalan Maras di Batu Rakit di sini yang berterusan diancam masalah hakisan pantai saban tahun.

Keadaan itu turut menyebabkan sebuah jengkaut yang digunakan bagi projek pembinaan benteng penahan ombak di kawasan tersebut dihanyutkan sejak dua hari lalu.

Seorang penduduk, Wan Zakaria Wan Mohamad, 63, bimbang situasi menjadi lebih parah memandangkan jarak rumahnya dengan pantai kini hanya tinggal 10 meter berbanding sebelum ini yang sejauh 200 meter.

“Setiap malam, saya tidak lena tidur memikirkan keselamatan diri dan keluarga termasuk tiga cucu.

“Saya dibesarkan di sini sejak lahir dan tiada tempat tinggal lain jika rumah ini hilang,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pengkalan Maras, Azhar Jusoh berkata, projek pembinaan benteng penahan ombak di kawasan itu sepatutnya sudah disiapkan namun tertangguh akibat pandemik Covid-19.

Katanya, kini kerja-kerja tersebut kembali diteruskan namun tergendala seketika akibat keadaan cuaca dan jengkaut yang dihanyutkan.

“Jika projek ini dapat disiapkan lebih awal saya percaya kesan kerosakan mungkin tidak terlalu teruk, bahkan keselamatan 10 keluarga yang menetap di kawasan ini juga lebih terjamin,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah, Kapten (PA) Zahidi Zainudin berkata, pemantauan berkala setiap empat jam dilakukan di kawasan itu sebagai langkah awal mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Kita turut memasang tali bagi menghalang orang ramai berkumpul dan menghampiri lokasi ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya