KUALA TERENGGANU: Setiap kali musim tengkujuh Kampung Gong Baru di sini lazimnya meriah dengan aktiviti menjala ikan darat seperti tilapia, sepat, keli dan puyu.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Gong Baru, Mohd. Hanafiah Ismail berkata, aktiviti tradisi tahunan itu bukan hanya dilakukan penduduk kampung berkenaan, malah turut menarik penglibatan masyarakat setempat.
Katanya, suasana di sepanjang tali air kampung itu ibarat berpesta apabila orang ramai mula menjala pada sebelah petang selain pada waktu pagi.
“Aktiviti menjala ikan darat pada musim tengkujuh ini secara tidak langsung memberi sumber rezeki tambahan kepada warga Gong Baru dan penduduk setempat.
“Kebiasannya hasil yang diperolehi telah ditempah awal oleh pembeli kerana ikan darat merupakan hidangan tradisi yang digemari penduduk,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Menurut Mohd. Hanafiah, dalam keseronokan menjala, penduduk tetap diingatkan agar berwaspada dan menjaga keselamatan diri agar tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku pada musim tengkujuh ini.
Sementara itu, seorang penduduk, Daud Ismail, 60, berkata, tangkapan tertinggi pernah diraihnya menerusi aktiviti menjala adalah sebanyak empat kilogram ikan darat.
Katanya, aktiviti tersebut dilakukan sekadar suka-suka untuk dinikmati keluarga dan bukan untuk tujuan jualan.
“Kalau ada orang yang lalu-lalang mahukan ikan, saya akan berikan sahaja kepada mereka sebagai sedekah.
“Bagi penduduk di Gong Baru ini menu bagi masakan ikan darat ialah gulai rempah daun kesom,” katanya. -UTUSAN ONLINE