Pendekatan responsif SKMM tingkatkan kesalinghubungan - Utusan Malaysia

Pendekatan responsif SKMM tingkatkan kesalinghubungan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengambil pendekatan responsif dalam menangani isu kesalinghubungan di seluruh negara, antaranya di beberapa lokasi seperti Kampung Sapatalang dan Mengkapon, Pitas; daerah Kiulu, Tuaran dan Kampung Kongsi 14, Kedah.

Jabatan Komunikasi Korporatnya berkata, SKMM telah mengarahkan penyedia perkhidmatan untuk menaik taraf rangkaian internet di pusat internet komuniti berhampiran dengan Kampung Sapatalang kepada sambungan gentian optik selaju 300 megabit sesaat (Mbps), sekali gus memberi manfaat kepada komuniti setempat termasuk pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin. 

“Ini juga dilakukan dengan menaik taraf liputan kepada 4G dari 3G. Sebanyak 13 menara baharu akan didirikan di Pitas dan Kampung Mengkapon telah dikenal pasti sebagai salah satu lokasi untuk pembinaan sebuah menara telekomunikasi di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) 1 dan ketika ini sedang menunggu kelulusan pihak kerajaan negeri.

“Sementara di Kiulu, tindakan memperluaskan liputan 4G sedang dilaksanakan di enam lokasi utama iaitu di Pukak, Lokub, Mantob, Kitapol, Kampung Sinorut dan Kampung Gonipis beserta dengan gentian optik ke setiap menara,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, tambahnya lagi, di Kampung Kongsi 14 pula, pemancar sementara telah didirikan bagi memberi liputan yang lebih baik di kawasan berkenaan. 

Jelasnya, usaha itu dicapai hasil kerjasama antara SKMM, penyedia perkhidmatan, para penduduk serta Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Wan Romani Wan Salim.

“Selain usaha tadi, penganjuran Sesi Makmal Infrastruktur Digital Negara (Makmal) yang berlangsung dari 13 Julai sehingga 14 Ogos lalu bermatlamat untuk mempertingkatkan tahap kesalinghubungan, kualiti pengalaman dan liputan Internet di seluruh negara. 

“Ia juga bertindak sebagai platform untuk menghasilkan rangka kerja komprehensif bagi pembangunan infrastruktur digital negara untuk memenuhi keperluan mendesak dalam era norma baharu. Hasil daripada sesi makmal itu, Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) akhirnya telah dibangunkan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya