KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mencatatkan pendapatan sebanyak RM41.1 bilion untuk suku ketiga 2020, lebih rendah berbanding pendapatan pada suku sama tahun lalu, iaitu sebanyak RM55.1 bilion.
Penurunan sebanyak 25 peratus itu sebahagian besarnya disebabkan purata harga direalisasi yang lebih rendah untuk produk-produk utama, menurut syarikat itu dalam kenyataan di sini semalam.
Pendapatan terkumpul untuk ketiga-tiga suku turut mencatatkan penurunan daripada RM176.2 bilion untuk tempoh sama tahun lalu kepada RM134.7 bilion tahun ini.
Penurunan sebanyak 24 peratus itu disebabkan purata harga direalisasi untuk semua produk selain jumlah jualan yang rendah, sebahagian besarnya melibatkan gas terproses, gas asli cecair (LNG) dan produk petroleum.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, baki tahun kewangan 2020 akan terus mencabar dan Petronas mengekalkan unjuran berhati-hati ketika perniagaannya terus diuji dengan ketidaktentuan harga minyak serta persekitaran operasi yang tidak stabil akibat pandemik.
“Kami menjangkakan prestasi kami akan terus terkesan dengan ketidaktentuan harga minyak yang diburukkan lagi dengan pandemik Covid-19 yang masih berterusan.
“Kami masih fokus kepada langkah-langkah untuk membentuk semula portfolio, menyemak perkiraan modal insan dan pelaksanaan berfokus secara langkah demi langkah dalam menguruskan persekitaran perniagaan yang tak dapat diduga pada ketika kami berusaha ke arah strategi pertumbuhan tiga penjuru.
“Ketika kami berusaha ke arah ini, kami mengumumkan baru-baru ini aspirasi untuk mencapai pengeluaran karbon sifar bersih menjelang 2050 yang membuktikan komitmen kami ke arah kemampanan,” katanya.