KUALA LUMPUR: Empat individu termasuk seorang lelaki warga Bangladesh ditahan kerana dipercayai ada kaitan dengan kejadian terbaharu pencemaran Sungai Selangor.
Tangkapan kesemua suspek dilakukan di sekitar Gombak, Damansara dan Kelana Jaya, Selangor pada tengah malam tadi hingga awal pagi ini bagi membantu siasatan kes pencemaran bau berdekatan Taman Velox, di Rawang dekat sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, kesemua suspek suspek berusia antara 33 hingga 43 tahun yang ditahan direman selama enam hari bermula hari ini sehingga 17 November ini bagi siasatan lanjut.
Ujarnya, hasil siasatan awal mendapati seorang suspek wanita adalah penama yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang menyewa premis di No 32, Jalan Velox 2, Rawang, Selangor.
“Manakala, seorang lelaki tempatan dan pekerjanya seorang lelaki Bangladesh itu menumpang stok bahan kimia di premis sewaan berkenaan.
“Dipercayai terdapat aktiviti membuang sisa kimia ke dalam satu lubang kumbahan di premis yang disyaki terus mengalir ke kawasan tercemar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan pencemaran bau air mentah di Sungai Selangor dipercayai berpunca dari kawasan Industri Kecil dan Sederhana di Taman Velox Rawang.
Pencemaran itu mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan 1,139,008 akaun pengguna di Lembah Klang, semalam.
Turut dilaporkan gangguan bekalan itu merangkumi 1,279 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mulai 6 petang semalam.-UTUSAN ONLINE