SHAH ALAM: Loji rawatan air (LRA) Rantau Panjang sekali lagi ditutup berikutan berlakunya pencemaran bau yang dikesan pada pukul 7 petang tadi.
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam kenyataannya malam ini berkata, pihaknya menerima laporan daripada Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) berkenaan pencemaran bau seakan pelarut dengan bacaan 1 ton di muka sauk LRA Rantau Panjang.
“LRA Rantau Panjang telah dihenti tugas pada pukul 7.10 petang tadi. LUAS, Air Selangor dan pihak-pihak terlibat sedang menjalankan siasatan dan tindakan-tindakan mitigasi segera.
“Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” jelas kenyataan itu.
Sementara itu, setakat ini tiada sebarang kenyataan daripada Air Selangor berhubung jumlah pengguna terjejas akibat henti tugas itu.
Lapan hari lalu, LRA Rantau Panjang dan LRA Fasa 1, 2 dan 3 telah dihenti tugas berikutan terdapat pencemaran bau di Sungai Selangor.
Pencemaran itu mengakibatkan lebih enam juta pengguna di tujuh wilayah mengalami gangguan bekalan air.
Pencemaran berpunca daripada pembuangan sisa industri daripada sebuah premis di Jalan Velox 2, Rawang dekat sini. – UTUSAN ONLINE