Pencemar air Selangor dihukum RM1juta  - Utusan Malaysia

Pencemar air Selangor dihukum RM1juta 

AMIRUDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pesalah yang melakukan pencemaran air selepas ini bakal berdepan dengan hukuman denda maksimum RM1 juta dan juga boleh dipenjara.

Ini susulan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini yang sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Pindaan 2020. 

 Rang Undang-Undang yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari itu telah dibentangkan Jumaat lalu sebelum dibahaskan dan mendapat sokongan daripada wakil rakyat Pakatan Harapan (PH ) dan Perikatan Nasional (PN). 

Menerusi rang undang-undang tersebut, hukuman memperuntukkan akan lebih berat terhadap pencemar air atau mereka yang bertanggungjawab melakukan pencemaran di negeri ini. 

Pindaan berkenaan memberi tumpuan kepada kenaikan denda daripada RM100,000 kepada RM200,000 dan maksimum RM1 juta, manakala penjara pula dijadikan sebagai hukuman mandotari.

Undang-undang tersebut juga membolehkan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menuntut kos membersih sumber air serta ganti rugi sepanjang memegang harta yang disita.

Amirudin berkata, rang undang-undang itu memperuntukkan beberapa perkara antaranya menambah baik prosedur arahan kepada mana-mana individu atau pihak berkuasa awam supaya mengambil langkah pemeliharaan dan pemuliharaan sumber air yang terjejas.

“Penambahbaikan ini termasuk memberi kuasa kepada LUAS untuk mengenakan caj lebihan pengambilan air sebagai langkah untuk mengawal penggunaan dan pembaziran sumber air.

“Malah, peruntukan ini memberi kuasa kepada pengarah atau pangkat pegawai polis tidak rendah daripada inspektor untuk menyita tanpa waran harta benda,” ujarnya. 

Dalam pada itu, Amirudin berkata, rang undang-undang itu juga membenarkan mahkamah memerintahkan harta benda yang disita dilucutkan hak walaupun tiada pertuduhan. 

“Sekiranya mahu dituntut semula, ia perlu dirujuk kepada mahkamah. Selain itu, tiada seorang pun yang berhak menuntut ganti rugi berkaitan penyitaan harta benda dan memperuntukkan kuasa kepada LUAS untuk memberi ganjaran kepada pemberi maklumat,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya