SHAH ALAM: Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesan aktiviti pembuangan sisa kimia berhampiran lurang loji Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) berhampiran sebuah tasik Bandar Bukit Mahkota, Cheras, dekat sini semalam.
Perbuatan itu dikesan JAS dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) selepas menerima maklumat daripada orang awam kira-kira pukul 10 malam.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, pihak berkuasa telah mengesan sisa kimia berwarna putih dengan campuran bahan pelarut di lurang loji IWK berhampiran kawasan tersebut.
“Bagaimanapun, bahan buangan ini berjaya disedut menggunakan dua lori tangki bagi mengeluarkan bahan berkenaan. Tindakan pantas ini berjaya mengelakkan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih, Kajang.
“Sementara kerja-kerja pembersihan dilakukan, pihak berkuasa terpaksa menutup loji IWK buat sementara waktu bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dilakukan dan selesai kira-kira pukul 2 pagi,” katanya kepada pemberita selepas hadir ke Taklimat Pelan Perancangan Penyelesaian Masalah Bekalan Air di Sungai Selangor & Sungai Semenyih di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir. Izham Hashim.
Dalam masa sama, beliau berkata, jarak lokasi loji IWK dengan tasik berhampiran kawasan itu yang bersambung dengan Sungai Beranang kira-kira satu kilometer.
“Tempat kejadian adalah bersempadan dengan Nilai, Negeri Sembilan dan ini merupakan siri pencemaran kali ketiga pernah berlaku sejak tahun 2018 lalu.
“Kawasan tersebut sangat terpencil dengan pembangunannya yang terbiar lama termasuk tiada sesiapa yang tinggal di situ. Saya percaya pihak berkenaan mengambil kesempatan ekoran faktor tersebut,” ujarnya.
Mengulas mengenai dalang yang melakukan pencemaran beliau berkata, sehingga kini pihak berkuasa masih menjejaki suspek yang terlibat.
“Setakat ini, kita tidak tahu siapa yang melakukannya dan mereka membuang bahan terlarang dengan menggunakan lori bagi mengelak dikesan.
“Sekiranya tiada tindakan pantas semalam, penutupan loji mungkin berlaku berikutan air tercemar dan dijangka akan dibawa ke LRA Semenyih dalam tempoh 10 jam,” katanya. -UTUSAN ONLINE