Pembaharuan sektor 3D galak pekerja tempatan - Utusan Malaysia

Pembaharuan sektor 3D galak pekerja tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan sepatutnya mengambil peluang dengan melakukan pembaharuan pembudayaan, minat dan kecenderungan terhadap pekerja tempatan untuk menyertai sektor 3D (Kotor, Berbahaya, Rumit)  khususnya pertanian dan perladangan berikutan situasi tenaga kerja sektor 3D yang terjejas akibat wabak Covid-19 ketika ini.

Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW) Nordin Abdul Malik berkata, selain langkah-langkah jangka pendek seperti Pelan Rekalibrasi Pendatang Tanpa Izin (PATI), kerajaan juga perlu mempunyai inisiatif jangka sederhana dalam tempoh lima tahun bermula 2021 hingga 2025 dan pelan jangka panjang 10 tahun bagi mengurangkan tenaga pekerja asing dan digantikan dengan tenaga kerja tempatan dalam sektor 3D secara berperingkat.

“Sistem pendidikan di negara ini perlu menitik beratkan kemahiran dan rasa minat yang mendalam terhadap sektor 3D ini terutama dalam pertanian dan perladangan.

“Pembelajaran secara formal dan informal perlu disusun semula supaya penerapan nilai terhadap kerjaya berkaitan sektor berkenaan dapat diterap sejak di bangku sekolah lagi.

“Oleh itu, kerajaan perlu menggiatkan usaha penggunaan teknologi termasuklah antaranya kaedah mekanisasi peladang bagi menjadikan sektor perladangan dilihat lebih menarik, cekap dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, kerajaan melaksanakan Pelan Rekalibrasi PATI bermula 16 November ini hingga 30 Jun tahun depan bagi memulihkan semula sektor ekonomi yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Program tersebut membenarkan PATI pulang ke negara asal secara sukarela tertakluk kepada syarat-syarat ditetapkan.

Dalam pada itu, Nordin berkata, antara insentif yang boleh menarik minat pekerja tempatan dalam sektor pertanian dan perladangan untuk jangka panjang ialah skim insuran perlindungan khas pekerja ladang, skim pinjaman khas perumahan pekerja ladang dan skim bantuan simpanan pendidikan anak pekerja ladang yang akan mendapat manfaat selagi mana mereka bekerja di sektor berkenaan.

Tambahnya, kerajaan perlu bekerjasama dengan pihak swasta untuk menjayakan Kempen Galakan Pekerja Ladang Tempatan secara besar-besaran agar tahap kesedaran dan minat pekerja tempatan dalam sektor 3D dapat ditingkatkan.

“IGROW telah menjalankan program berkaitan kemahiran pekerja ladang tempatan, dengan pengalaman lebih 10 tahun melatih belia tempatan untuk berkecimpung dalam pertanian dan perladangan.

“IGROW juga sedang bekerjasama dengan syarikat-syarikat perladangan terkemuka tanah air melatih belia tempatan menyertai sektor perladangan dan pertanian.

“Terdapat belia tempatan yang masih berminat kerana ditawarkan bekerja di syarikat yang terkemuka dan kukuh, di samping gaji lumayan serta kaedah mekanisasi dan jenis pokok berteknologi tinggi yang mengurangkan beban tenaga kerja,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya