Pemandu sebab kematian polis dijel - Utusan Malaysia

Pemandu sebab kematian polis dijel

Dari kiri, Siti Noor Asyikin Mohammad Ariffin, Muhammad Aiman Romli, Muhamad Syahrihudin Abd. Majid dan Muhamad Shafiq Lokman dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru berhubung kes kemalangan membabitkan seorang anggota polis. Gambar: RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pemandu kereta Perodua Myvi yang memandu secara berbahaya sehingga mengakibatkan kematian anggota polis dihukum penjara lapan tahun dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, Mohamad Shafiq Lokman, 25, dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Mohd. Zaki Abd. Rahman.

Pendakwaan dikemukakan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000 serta lesennya boleh digantung dan hilang kelayakan lesen memandu.

Selain itu, lelaki tersebut juga didenda RM1,800 atau penjara tiga bulan di bawah Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana tidak memiliki lesen pemandu.

Mohamad Shafiq didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Jalan Kangkar Tebrau di sini pada pukul 6 pagi, 1 November lalu.

Di mahkamah berasingan, lelaki tersebut juga dihukum penjara 12 bulan dan denda RM5,000  kerana mengaku bersalah atas menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Selain itu, dia dikenakan hukuman penjara lapan bulan kerana mengambil dadah di bawah pendakwaan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesemua hukuman pemenjaraan dijalankan secara berasingan.

Sementara itu, tiga rakan tertuduh turut dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Majistret di sini kerana beberapa kesalahan berlainan.

Penumpang hadapan Perodua Myvi, Muhamad Syahrihudin Abdul Majid, 24, didenda RM1,000 atau penjara tiga bulan penjara kerana tidak memiliki lesen memandu.

Penumpang belakang kenderaan sama, Muhamad Aiman Romli, 24, dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan kerana kesalahan memasukkan dadah dalam tubuh.

Sementara itu, seorang lagi tertuduh, Siti Noor Ashikin Muhammad Arifin, 26, dihukum dipenjara lapan bulan di atas kesalahan dadah dan denda RM1,000 kerana membenarkan kenderaannya untuk dipandu individu tidak mempunyai lesen memandu.

Mereka masing-masing mengaku kesemua kesalahan itu yang didakwa dilakukan di Jalan Kangkar Tebrau di sini pada pukul 6 pagi, 1 November lalu.

Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abd Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya, Noridayu Md. Kassim, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam kejadian itu, seorang anggota polis, Konstabel Nicholester Dadup Anak Unggat, 20, maut selepas cedera parah pada bahagian kepala manakala pemandu MPV, Lans Koperal Mohd. Fadhirul Musa, 32, cedera parah selepas kenderaan yang dinaiki mereka bergesel dengan sebuah kereta Perodua Myvi ketika mengejar penjenayah sebelum terbalik.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya