JOHOR BAHRU : Seorang lelaki menahan kesakitan tersepit 45 minit setelah kenderaan dipandunya terlibat kemalangan di Jambatan Sungai Kim-kim, Jalan Tanjung Langsat-Pasir Gudang di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, kereta Toyota Altis dipandu mangsa Mohd. Iska Abd. Hamid, 33, yang dinaiki bersama seorang wanita, Tay Wei King, 24, bertembung dengan sebuah kereta Toyota Camry dari arah bertentangan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Timbalan Penguasa Bomba Dua, Ibrahim Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan tersebut pada 8.53 pagi yang melibatkan dua buah kereta.
Katanya, dua jentera dengan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Menurut komander operasi, pemandu Toyota Camry berusia 40 tahun yang cedera telah berjaya dikeluarkan dari kenderaan oleh orang awam dan menghantarnya ke hospital sebelum bomba tiba di lokasi.
“Wanita yang berada di tempat duduk penumpang hadapan kereta Toyota Altis itu turut diselamatkan oleh orang awam manakala pemandu kereta itu yang tercedera tersepit dan tidak dapat dikeluarkan.
“PKO (Pasukan Keluaran Operasi) bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit selama 45 minit dengan menggunakan peralatan khas sebelum menyerahkan mangsa kepada petugas Kementerian Kesihatan untuk dihantar ke Hospital Sultan Ismail di sini,” katanya.
Ibrahim berkata, operasi menyelamatkan itu ditamatkan pada 9.52 pagi. -UTUSAN ONLINE