KULAI : Kerajaan Pusat diberi kata dua oleh pemandu bas sama ada ingin membela nasib mereka atau berhadapan bantahan jalanan di Putrajaya Isnin ini.
Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pengusaha dan Pemandu Bas Negeri Johor, R. Thiagarajan berkata, mereka terpaksa membuat keputusan tersebut supaya kerajaan dapat campur tangan terhadap dilema yang dialami mereka selama ini.
Kata beliau, pihaknya kecewa setelah tidak mendapat perhatian dan bantuan daripada kerajaan seperti dalam pembentangan Belanjawan 2021.
“Jika dilihat dalam pembentangan Belanjawan 2021, hanya perkhidmatan bas berhenti-henti sahaja yang mendapat perhatian pihak kerajaan.
“Sehubungan itu, kami memohon kementerian berkaitan membantu pengusaha bas yang berdepan masalah pinjaman kredit yang kian membarah terutamanya ketika dilanda penularan pandemik Covid-19.
“Pelbagai cara telah dibuat pihak Gabungan Bas Malaysia, namun permasalahan ini masih belum temui penyelesaian. Kami berharap suara kami dapat didengari, jika tidak kami akan turun berdemo di Putrajaya,” katanya pada sidang akhbar di Taman Kulai Jaya, di sini hari ini.
Thiagarajan berkata, mata pencarian pengusaha bas di negeri ini terjejas teruk dan berdepan masalah untuk membuat pembayaran kredit sehingga ada yang terpaksa meminjam daripada ah long.
Katanya, lebih teruk terdapat bas milik pengusaha ditarik oleh syarikat pinjaman kredit kerana tidak mampu membuat bayaran sejak beberapa bulan lalu.
“Mereka ini bukan saja-saja membuat pinjaman dengan syarikat kredit ini, tetapi disebabkan sukar untuk membuat pinjaman dengan bank kerana syarat-syarat dikenakan amat ketat. Jadi, itulah pilihan yang ada dengan kadar faedah mencecah 13 peratus.
“Itu juga antara isu yang kami suarakan supaya pihak kerajaan dapat campur tangan agar industri perkhidmatan bas seperti bas persiaran, bas sekolah, bas pekerja dan lain-lain bertambah baik pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata, sejak Julai lalu, pelbagai usaha yang dilakukan pihaknya termasuk menghantar memorandum kepada kerajaan negeri dan kementerian berkaitan berhubung dilema yang dialami kira-kira 2,000 pengusaha bas membabitkan lebih 4,000 kenderaan.
“Jika dahulu pengusaha bas persiaran mampu meraih pendapatan kasar sehingga RM30,000 sebulan manakala pengusaha bas kilang memperoleh kira-kira RM8,000 sebulan, kini mereka tak mampu bergerak dan tiada pendapatan langsung.
“Keadaan semakin mencabar lebih-lebih lagi buat pemandu bas yang mempunyai tanggungan. Untuk lompat bidang bukanlah semudah yang dikata, ramai yang tidak mampu bertahan lama dalam bidang baru diceburi,” katanya. -UTUSAN ONLINE