LARUT: Sekolah ditutup kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) manakala buku dan nota penting untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) musnah akibat banjir baru-baru itu.
Itu ujian yang dialami calon SPM, Nur Khadijah Mukhtar, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelai dekat sini.
Menurutnya, ketika banjir kilat melanda kampungnya hingga menyebabkan ramai penduduk dipindahkan, dia tidak sempat menyelamatkan buku teks sekolah termasuk nota penting.
Katanya, ini disebabkan air banjir naik terlalu cepat sehingga lebih satu meter.
“Ini ujian buat saya yang akan menduduki peperiksaan SPM tak lama lagi. Buku nota dan buku teks penting untuk saya membuat persediaan bagi menghadapi peperiksaan SPM.
“Buat sementara waktu, saya membuat ulang kaji dengan meminjam buku kawan selain membuat latihan dan kerja sekolah secara online (dalam talian) ,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu, banjir turut menyebabkan banyak buku milik seorang guru agama di sekolah itu yang rosak.
Prihatin dengan kejadian yang berlaku ke atas guru agama berkenaan, Mohd. Shafizan Hambarudin, 35, para pelajarnya membantunya membersihkan buku yang rosak akibat diselaputi lumpur.
“Hari ini ada pelajar saya datang ke rumah membantu membersihkan buku-buku yang disaluti lumpur banjir.
“Mereka datang secara sukarela untuk membantu membasuh dan mencuci semua buku-buku ini memandangkan kebanyakan isi kandungan bukunya terdapat ayat-ayat al-Quran,” katanya.
watDia berharap ada buku-buku agama yang dibersihkan itu dapat diselamatkan memandangkan ia adalah buku agama koleksi secara jilidan yang dikumpul lebih 10 tahun dan ada di antaranya yang digunakan untuk pembelajaran di sekolah.-UTUSAN ONLINE