Pelajar SMK Munshi Abdullah hasilkan 1,000 pelindung muka kepada Bomba - Utusan Malaysia

Pelajar SMK Munshi Abdullah hasilkan 1,000 pelindung muka kepada Bomba

PELAJAR SMK Munshi Abdullah, Hanin Fadhlina Omar, 16 (kiri) memakaikan pelindung muka kepada anggota bomba, Azwan Mohd. Said selepas majlis penyerahan di Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Melaka. UTUSAN/ RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Menghargai peranan besar dimainkan petugas barisan hadapan berdepan Covid-19, sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah menghasilkan pelindung muka (face shield) untuk digunakan anggota bomba.

Hasilnya, sebanyak 1,000 pelindung muka itu berjaya disiapkan oleh 20 pelajar tingkatan empat dan lima sekolah tersebut ketika masa lapang.

Wakil pelajar, Muhammad Adam Azman, 17, berkata, projek penghasilan pelindung muka tersebut bermula sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini.

“Sebanyak 100 pelindung muka dapat disiapkan dalam masa sehari dengan bahan-bahan pembuatan adalah daripada hasil sumbangan dalam kalangan warga sekolah,” katanya kepada pemberita di Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, hari ini.

Penyerahan itu dilakukan Pengetua SMK Munshi Abdullah, Mohd. Yusri Seman kepada Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Abu Obaidat Mohamad.

Sementara itu, Mohd. Yusri berkata, selain JBPM negeri, kumpulan pelajar itu turut membuat 2,000 pelindung muka untuk diserahkan kepada kakitangan Hospital Melaka dalam masa terdekat. 

“Ini adalah salah satu inisiatif warga SMK Munshi Abdullah untuk memberikan sedikit motivasi kepada frontliner, selain membentuk nilai keprihatinan dalam kalangan pelajar yang menyumbang dan menjayakan projek ini. 

“Kami akan meneruskan usaha ini agar dapat memberikan sumbangan pelindung muka kepada agensi-agensi yang lain dalam negeri ini juga,” katanya.

Dalam pada itu, Abu Obaidat berkata, pihaknya terharu dan amat menghargai pemberian tersebut yang melambangkan keprihatinan golongan muda terhadap kesihatan dan keselamatan pasukan barisan hadapan.

Katanya, usaha murni itu pasti akan memberikan impak kepada keluarga JBPM Melaka untuk menjalankan tugas dengan lebih efektif. 

“Kami sangat berbesar hati apabila ada pihak yang menghulurkan bantuan perlindungan asas ini, apatah lagi ia adalah hasil buatan tangan dari pelajar sekolah menengah. 

“Sudah pasti, pemberian ini akan meningkatkan lagi semangat pasukan bomba untuk terus memberikan khidmat terbaik dalam menangani pandemik Covid-19 di negeri ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya