BESUT: Seorang pelajar tingkatan satu maut terkena renjatan elektrik ketika menangkap ikan di parit belakang rumahnya di Kampung Batang Gergaji, Apal, Jertih, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, mangsa Muhammad Azan Firdaus Mansor meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, mangsa dikatakan sempat memanggil datuknya yang berada di belakang rumah selepas kejadian itu.
“Datuknya yang berusia 62 tahun bergegas ke arah mangsa, bagaimanapun cucunya didapati sudah rebah di tepi parit dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Pihak keluarga kemudian menghubungi Klinik Kesihatan Jabi dan pegawai perubatan mengesahkan kematian mangsa,” katanya di sini hari ini.
Menurut Abdul Rozak, siasatan pada badan Muhammad Azan Firdaus tidak menjumpai sebarang kesan kecederaan.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Besut untuk tindakan lanjut. – UTUSAN