KUBANG PASU: Dua pelajar tahun satu dari Sekolah Kebangsaan (SK) Malau, Jitra di sini meneruskan latihan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian walaupun berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di sekolah itu sejak semalam.
Nur Fatrisya Iman Mohd. Iswandi, 7, dan Alisya Safiaya Amirul Anwar, 7, yang juga merupakan pelajar di SK Malau tetap mengikuti PdP selepas PPS itu mempunyai capaian internet yang baik.
Menurutnya dia mengikuti latihan PdP dengan menggunakan telefon bimbit milik ibu bapanya.
“Walaupun berada di PPS, tetapi saya tetap tidak mahu ketinggalan mengikuti pembelajaran tersebut.
“Semua kerja sekolah akan dihantar melalui telefon bimbit dan akan merakam suara untuk bacaan sebelum dihantar kepada guru,” katanya ketika ditemui di PPS SK Malau di sini hari ini.
Seramai 62 orang daripada 15 keluarga yang tinggal di beberapa buah kampung di Mukim Malau, Jitra dipindahkan ke PPS di SK Malau selepas rumah mereka dilanda banjir pada malam semalam.
Alisya Safiaya pula berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk mengikuti PdP mengikut jadual yang ditetapkan oleh guru walaupun berada di PPS di sini.
Katanya, menerusi pembelanjaran tersebut, dia hanya perlu belanja dalam masa dua jam sahaja sehari.
“Pada sebelah malam pula, saya banyak melakukan ulangkaji pelajaran bersama rakan-rakan sekolah yang berada di PPS ini,” ujarnya.
Sementara itu, bapa Nur Fatrisya, Mohd. Iswandi Ishak, 37, pula berkata, anaknya gembira apabila mendapati capaian internet di PPS SK Malau agak baik, seterusnya dapat mengikuti PdP mengikut jadual diberikan gurunya.
“Kami bernasib baik apabila dipindahkan di PPS yang mempunyai capaian internet yang baik,” katanya. -UTUSAN ONLINE