Pelaburan: 16 lelaki China dicekup tipu ‘rakan’ senegara sendiri  - Utusan Malaysia

Pelaburan: 16 lelaki China dicekup tipu ‘rakan’ senegara sendiri 

ABDUL Majid Mohd. Ali (dua kiri) menunjukkan gambar-gambar suspek yang berjaya dicekup dalam serbuan baru-baru ini membabitkan kes penipuan pelaburan saham dalam talian membabitkan warganegera China dalam sidang akhbar di IPK Melaka, Bukit Beruang, Melaka. UTUSAN/ DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sekumpulan ahli sindiket penipuan pelaburan dari China yang memilih negara ini untuk beroperasi bagi menipu mangsa dari negara republik itu tumpas apabila diserbu Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, baru-baru ini.

Kesemua 16 suspek lelaki berusia antara 22 hingga 45 tahun itu disyaki terbabit dalam 26 kes penipuan dalam talian dengan nilai kerugian direkodkan sebanyak RM3.2 juta sepanjang awal tahun sehingga bulan ini. 

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali ketika mendedahkan perkara itu berkata, sindiket tersebut memilih Malaysia kerana faktor sewaan premis yang lebih rendah berbanding negara Asia lain, selain faktor sistem telekomunikasi.

“Mereka disyaki beroperasi di kondominium yang disewa sebagai pusat kegiatan tersebut, malah ketika serbuan pertama dilakukan seramai 13 suspek telah ditangkap di sebuah kondominium di Jalan Tun Perak, kira-kira pukul 6 petang pada 24 November lalu. 

“Manakala, tiga lagi suspek dicekup di sebuah kondominium berasingan di Kota Laksamana, di sini kira-kira pukul 2 petang pada 27 November lalu,”  katanya dalam sidang akhbar di IPK Melaka, Bukit Beruang di sini hari ini.

Tambah Abdul Majid, siasatan awal mendapati kesemua warganegara asing yang ditangkap telah menginap di kondominium terbabit sejak Oktober lalu untuk menjalankan kegiatan penipuan pelaburan secara atas talian.

Mengulas lanjut, beliau berkata, modus operandi yang digunakan sindiket itu adalah menawarkan skim pelaburan yang kononnya akan memberi pulangan tinggi sebelum mengarahkan mangsa untuk melayari laman web pelaburan tertentu. 

“Mangsa yang juga dari negara China yang terpedaya akan membuat bayaran untuk menyertai pelaburan saham sebelum diberitahu pelaburan tersebut mengalami kerugian menyebabkan wang tidak dapat dikembalikan,” katanya.

Jelas beliau, ketika serbuan dibuat, kesemua suspek sedang melayari komputer secara atas talian yang menunjukkan graf-graf disyaki sistem pelaburan yang dihubungkan dengan satu laman web dipercayai berpusat di negara China.

Katanya, dalam serbuan itu, polis turut merampas beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan haram itu antaranya termasuk 97 telefon bimbit, 13 komputer riba, pasport negara China dan peranti modem internet.

“Kesemua suspek yang ditahan dalam tangkapan pertama direman sehingga 4 Disember ini, manakala tangkapan kedua direman sehingga 3 Disember bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. 

“Selain itu kita juga membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 6(1)(c) atas kesalahan tiada dokumen perjalanan yang sah dan Seksyen 15(1)(c) kerana kesalahan tinggal lebih masa,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya