ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor akan menghantar bakul makanan kepada para pekerja Malaysia yang terkandas di Singapura dalam masa terdekat.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, bantuan berkenaan akan disalurkan bagi membantu rakyat Malaysia yang terjejas dan kesempitan demi meneruskan pekerjaaan di negara berkenaan.
“Kita akan bekerjasama dengan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura dan Persatuan Malaysia-Singapura dalam mengagihkan bantuan bakul makanan pada rakyat Malaysia yang terkandas dan terjejas di Singapura,”.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan Belanjawan Johor 2021 bertema ‘Berdaya Tahan Demi Kemakmuran’ pada Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-14 di sini hari ini.
Kelmarin, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Kerajaan Pusat akan mengambil langkah segera bagi membantu rakyat Malaysia yang terkandas di Singapura, selepas sempadan kedua negara ditutup akibat pandemik COVID-19.
Hishammuddin dilaporkan berkata, Malaysia pada dasarnya tidak pernah menyekat mereka untuk kembali ke tanah air, walaupun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan.
Katanya siasatan juga akan dilakukan bagi mengenal pasti punca yang menyekat mereka daripada pulang, hingga terpaksa meneruskan hidup sebagai gelandangan di negara jiran. -UTUSAN ONLINE