JOHOR BAHRU: Jabatan Kesihatan Negeri Johor telah menjalankan ujian saringan Covid-19 terhadap pekerja termasuk pemandu dan kelindan lori membabitkan sebuah kilang yang diletakkan di bawah Kluster Gemilang.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R.Vidyananthan berkata, mereka yang selesai melakukan ujian pengesanan perlu menjalani kuarantin di rumah masing-masing.
Katanya, kes indeks kluster berkenaan membabitkan seorang pekerja sebuah syarikat logistik yang disahkan positif Covid-19 pada 22 November lalu dan ia hasil saringan kemasukan di hospital swasta ekoran pesakit mengalami gejala sukar bernafas.
“Sehingga semalam, seramai 95 kontak rapat telah disaring di mana 26 kes positif setakat ini. Mereka terdiri dari 19 bukan warga dan tujuh adalah rakyat tempatan manakala 65 individu masih lagi menunggu keputusan.
“Susulan itu, hasil saringan kontak rapat mendapati 25 rakan sekerjanya positif Covid-19 dan kesemua kes terbabit sudah dimasukkan ke hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, memandangkan syarikat terbabit mempunyai hubung kait dengan pelbagai industri di daerah ini, mereka terbabit dinasihatkan melaksanakan ujian saringan Covid-19 terhadap pekerja sebagai prosedur pencegahan.
Dalam pada itu, Vidyananthan berkata, kes tertinggi dilaporkan di daerah Batu Pahat yang mana daripada 30 kes baharu, 27 kes membabitkan Kluster Batu 7, manakala masing-masing satu kes hasil saringan kontak rapat dan hasil saringan gejala.
Katanya, sehingga semalam, 12 kluster aktif di Johor.
Ia antaranya membabitkan Kluster Gemilang (Mukim Tebrau), Kluster Tanjung Bunga (Mukim Plentong), Kluster Batu 7 (Mukim Linau), Kluster Kobena (Mukim Tebrau), Kluster Kota Kecil (Mukim Kota Tinggi) dan Kluster Makmur (Mukim Kulai).
Kluster lain ialah Kluster Kiambang (Mukim Tenggaroh), Kluster Parit Kassan (Mukim Grisek), Kluster Jeri (Mukim Sedili Besar), Kluster Meldrum (Mukim Sungai Tiram), Kluster Kempas (Mukim Tebrau) dan Kluster Padang (Mukim Ulu Sungai Johor). -UTUSAN ONLINE