JOHOR BAHRU: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini diminta melakukan kerja penyelenggaraan terhadap infrastruktur asas yang rosak seperti lampu jalan walaupun jalan berkenaan di bawah penyeliaan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Ayub Jamil berkata, perkara itu bagi memastikan kerosakan berkenaan dapat diperbaiki dengan segera.
Katanya, kelewatan kerja pembaikan sebelum ini berlaku mungkin disebabkan beberapa faktor tidak dapat dielakkan.
“Saya sudah minta PBT, antaranya Bandaraya Johor Bahru (MBJB) untuk ambil alih kerja penyelenggaraan lampu jalan rosak libatkan jalan yang dibawah seliaan JKR.
“Majlis boleh mengambil tindakan segera untuk melakukan kerja penyelenggaraan contohnya libatkan Jalan Tebrau, kerana banyak kerosakan lampu jalan dan akibat gelap ketika malam,” katanya dalam selepas menyempurnakan Majlis Pengundian Terbuka Rumah Mampu Biaya Johor B, Taman Scientex Pulai Mutiara yang dilakukan secara atas talian di Auditorium RTM Johor, di sini hari ini.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan kebimbangan para pengguna Lebuh Raya Pasir Gudang terhadap kerosakan lampu yang sering berlaku di jalan iaitu sepanjang tahun ini boleh mengundang nahas jalan raya sehingga boleh berlakunya kematian.
Dalam pada itu, Ayub berkata perkara itu telahpun dipersetujui Datuk Bandar MBJB, Datuk Adib Azhari Daud.
“Oleh itu saya meminta diberikan sedikit masa untuk mengatasi masalah kerosakan lampu jalan yang berlaku di beberapa kawasan terlibat,” tambahnya. -UTUSAN ONLINE